REMAJA yang hebat ialah apabila tidak gentar berhadapan dengan belenggu masalah atau cabaran yang mendatang ketika mencipta impian. Namun, jika gagal ia tidak menjadi halangan untuk meneruskan impian yang dicita-citakan. Pepatah Melayu mengatakan, ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.’ Pepatah Arab pula mengatakan ‘Man jadda wa jada’, siapa yang bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.

Kemiskinan dan kekurangan harta tidak boleh dijadikan alasan untuk malas berusaha. Contoh yang baik dalam hal ini ialah kejayaan yang dicapai oleh Nur Nik Madihah. Seorang anak nelayan yang serba kekurangan. Cuba anakanda lihat, kebanyakan yang berjaya adalah berasal dari kampung, anak pesawah, penoreh getah, petani dan seumpamanya.

Mengapa?

Kerana mereka ada impian dan cita-cita tinggi di samping mahu mengubah kehidupan yang serba kekurangan. Ibu bapa mana yang tidak mahu lihat anaknya berjaya?

Berusahalah anakanda... walau apa jua cita-citamu, ayahanda dan bonda sentiasa mendoakan. Cuba Lihat lagi mereka yang berjaya dalam kehidupan misalnya penulis novel Indonesia iaitu Andrea Hirata.

Beliau asalnya hanyalah seorang anak miskin dan tempat belajarnya amat daif. Sekolahnya dahulu hanyalah sebuah bangunan usang yang hampir roboh dan tidak punya sebarang kemudahan seperti hari ini. Pelajarnya cuma sepuluh orang, namun semangat belajarnya hebat dan beliau telah berjaya mencapai cita-citanya.

Ayahanda tidak pula nafikan mereka yang lahir dalam keluarga yang mewah juga pandai kerana mereka juga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Terfikirkah kita tentang kehidupan jika tiada cita-cita? Agaknya di mana kita akan tinggal? Apa pula pekerjaan kita suatu hari kelak? Bukalah mata dan luaskan pandangan mata hati. Lihatlah keadaan mereka yang tiada cita-cita dalam kehidupan. Mereka akan menyesal selama-lamanya dan terpaksa mengharungi masa depan yang suram.

Tidak kurang juga ada yang menjadi beban masyarakat. Lebih teruk jika ada yang menjadi penagih dadah, mat rempit atau peragut jalanan. Jiwa ayahanda sengsara apabila melihat kebanyakan mangsa adalah kalangan umat Islam. Lalu, ayahanda bertanya sendiri ‘Apakah itu tempat terbaik buat umat yang telah diberi ajaran sempurna oleh baginda Muhammad s.a.w?’’

Anakku,

Mengapa tidak dijadikan sahabat terdahulu sebagai idola untuk menjadi umat bahagia dunia dan akhirat? Bacalah tentang Abu Bakar, Ibnu Abbas, Umar Al-Khattab dan teman-temannya, serta ambillah iktibar daripada kisah mereka agar hidup lebih berjaya dan mampu berkhidmat kepada Islam pula.

Jika hari ini, contohilah tokoh-tokoh yang berwibawa dan profesional yang telah berjaya memberi sumbangan kepada negara seperti Syed Naquib Al-Attas, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Dato’ Dr. Zeti Aziz atau Shaikh Muzaffar. Terokailah jasa-jasa yang telah mereka taburi untuk negara, mudah-mudahan dengannya anakanda mampu menjadi yang lebih baik lagi.

Bagaimana untuk membina negara jika tiada cita-cita untuk menjadi orang berjasa? Apakah hanya mahu mengharapkan orang luar untuk mendirikan universiti terkenal memperkukuh modal insan, memajukan ummah yang ketinggalan, membangun ekonomi, menguatkan pertahanan negara, menjadikan negara makmur dan aman? Semuanya itu tidak mungkin wujud jika anakanda dan remaja lain hari ini tidak menanam cita-cita dan bekerja keras untuk mencapainya.

Ini adalahamanah ALLAH yang mesti direalisasikan. Berusahalah untuk melaksanakannya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.