Kulit novel 3 KATA HATI
Kulit muka depan novel 3 KATA HATI

JAM hampir 8.15 malam sewaktu aku membuka pintu hadapan rumah dengan terburu-buru.

LRT buat hal lagi. Bukan perkara luar biasa. Aku sudah belajar bersabar sejak mula bergerak ke sana ke sini dengan tren. Sememangnya lebih mudah. Tidak perlu menyusahkan mama.

Perkara pertama yang aku lakukan sebaik saja tiba di rumah ialah melayari FB. Ya, memang benar. Aku terlupa hendak savekan nombor telefon Iskandar. Kenapalah aku buat tak reti saja? Bukankah dia dah suruh aku savekan? Nampak sangat aku ni degil.

Internet pula buat hal. Aku menarik nafas panjang. Hari yang malang, namun menggembirakan. Hatiku berbisik. Seumur hidup, aku tidak pernah menerima jambangan bunga dan hadiah sebanyak itu.
Gila ke lelaki yang bernama Iskandar itu? Ataukah dia tersilap? Mungkin dia tersalah pandang sewaktu memesan bunga-bungaan itu. Atau dia terlupa dan memikirkan aku ini orang lain?

Rimas dengan internet yang merangkak, aku masuk ke bilik air dan mandi. Barulah segar sikit. Jam sudah 9.00 malam. Aku ke dapur membancuh Milo 3 dalam 1 dan mencapai sebiji bun berinti kelapa perisa pandan. Semuanya aku angkut ke dalam bilik.

Peristiwa yang terjadi pagi tadi di ofis membuat aku paling teruja. Bagaimana Iskandar tahu aku bekerja di sini? Langsung aku teringat akan chatting kami. Bukankah dia ada bertanya tempat kerja aku? Tapi, aku tak beritahu pun agensi ini merupakan cawangan di Jalan Tun Perak. Usaha dia nak cari tu. Cewah, bajet bagus aje aku.

“Call dia, cakap terima kasih...” Suara Fiffy kedengaran di cuping telinga.

Seluruh warga Gemilau Travel Agency kesukaan bila mendapat tahu aku menerima bukan saja jambangan bunga malah makanan. Aku menjamu mereka dengan coklat, kek dan buah-buahan itu.

Fiffy, Muzammil dan Sheila tidak lagi menyebut tentang KFC selepas itu. Semuanya sibuk meminta bunga untuk diletak di atas meja masing-masing.

Aku serah tiga jambangan lain kepada Monica untuk diberikan kepada staf di bahagiannya.

Bukan main lagi rasanya. Macam princess. Aku mencapai kad tulisan tangan Iskandar. Hanya tertulis nama Iskandar. Itu saja. Dia yakin aku pasti akan menelefonnya atau mengirimkan e-mel bagi mengucapkan terima kasih. Hmm... bagus betul strategi dia.

Adakah aku akan termakan? Aha, ini bukan soal termakan atau tidak tetapi memberikan penghargaan kepada seseorang yang sudah berhabisan beratus ringgit untuk bunga dan hadiah-hadiah itu. Nak dapat sejambak bunga  pun susah, ni siap bagi sembilan lagi...

“Dia mesti orang kaya!” jerit Sheila dengan girang. “Kau macam tak happy aje, Hani.”

Monica mencelah. “Dia happylah, tapi tak tunjuk. Bukan macam you... dapat sekuntum bunga pun dah riuh satu bangunan.”

“Entah-entah kalau dapat apa yang Hani dapat, I rasa boleh runtuh bangunan ni,” acah Fiffy pula.

Sepanjang hari aku menjadi bahan usikan rakan-rakan seagensi. Mereka suruh aku call Iskandar. Mereka kata, peluang jangan dilepas. Mesti lelaki itu betul-betul suka kat aku. Takkan dia sanggup berhabisan kalau sekadar suka sedikit. Hai, apa-apalah...

Kekecewaan aku dengan berita tidak gembira Mr. Ganesh tenggelam begitu saja. Tak apalah, tak ada rezeki. Setakat apa yang aku dapat itu, mungkin sebulan aku boleh menyimpan RM300. Lambat lagilah hendak cukup bagi membeli tiket untuk ke UK.

Dulu dengan gaji RM750 aku membayangkan boleh menabung RM500 sebulan. Setakat makan tengah hari dan tambang, mungkin tak banyak mana pun. Kalau tak cukup, aku akan minta kat mama.

Mama selalunya bagi aje tanpa soal jawab. Cakap aje aku nak belanja Karleen sebab hari lahir dia. Atau Wan Munirah sebab anak kucing dia mati.

Mama mana nak ingat kalau aku tersilap cakap aku nak beli hadiah kat Tengku Haris sebab hari lahir dia (buat kali kedua dalam setahun). Mama makin tua, makin cepat lupa. Dan aku makin bijak menggunakan peluang untuk  menambah tabungan. Uiikks, nak hidup kena pandai.

Akhirnya, aku berjaya melayari internet. Terus aku masuk ke FB dan klik mesej. Aku sempat mengerling jam di telefon bimbit. Tepat 10.00 malam.

Thanks kirim hadiah dan bunga.

Selepas aku menekan ‘Reply’ baru aku perasan ayat itu kedengaran tidak begitu ikhlas. Aku cuba menambah sebaris lagi supaya aku berpuas hati sedikit.

I tak tahu apa nak cakap. Bunga tu cantik. Kek dan coklat pun sedap.

Terlintas pada fikiranku untuk memberitahu dia bahawa kek dan coklat itu semua sudah habis kuberikan pada staf di agensi. Adakah dia akan marah? Atau dia akan berkecil hati kerana aku hanya menjamah sedikit saja pemberiannya? Tidak logik langsung kalau aku seorang menghabiskan kek coklat, kek buah dan kek lapis itu.

Monica suruh aku bawa balik tapi aku menolak dengan alasan, tiada sesiapa hendak memakannya. Sudah menjadi rezeki staf di situ, jadi aku tak menyesal langsung.

Sewaktu aku memikirkan tentang status yang ingin ku kongsi bersama rakan-rakan

FB di wall, aku terpandang mesej masuk. Aku terus membukanya. Oh TUHAN! Memang dia, Iskandar! Aku tersenyum kecil.

- Sama-sama. You baru balik kerja?
+ Ya. You?
- Skype nak?

Oh tidak! Kenapa tiba-tiba aku rasa macam hampir pengsan? Iskandar ajak aku Skype. Tak tahulah kenapa tapi aku bergegas menyikat rambut, mengerling pada wajahku di muka cermin dan mengunci pintu. Aku bukan takut mama masuk tiba-tiba tapi aku hanya fikir aku tak mahu diganggu pada saat berbual dengan lelaki itu kelak.

Padahal mama memang akan mengetuk pintu setiap kali mahu bertanya sesuatu padaku. Walau pun pintu tidak berkunci, mama akan menunggu jawapanku sebelum membukanya.

Iskandar memberikan e-melnya supaya mudah untuk aku add dia. Sebaik saja diapprove, terpampang wajahnya di skrin komputer aku. Dia tersenyum. Adoi mak, tampannya!

Dia berkemeja lengan panjang warna putih dengan jalur biru. Tali lehernya sudah dilonggarkan sedikit. Rambutnya lurus menutupi sebahagian dahinya. Inikah lelaki yang telah mengirimkan bunga, kek, coklat dan buah-buahan
kepadaku siang tadi?

- Kita taip ajelah, tak payah bercakap. Okey?

Aku membaca tulisannya di ruang yang tersedia di bawah videonya. Kemudian aku balas. Jari-jemariku sedikit menggeletar. Hisy... entah-entah muka aku pucat lesi. Apa pasallah suspens sangat ni. Bukan aku tak pernah ber-Skype sebelum ni...

+ Okey, lagipun headphone rosak...
- Beli yang murah, tu yang senang rosak.
+ Hmm, iyalah... You masih kat ofis ke?
- Ya. Bilik tidur you cantik... macam orangnya.
+ Mana ada? Kan biasa aje, hehe. Ofis you kat mana?
- Symphony House, Jalan Lapangan Terbang Subang. Tahu tak kat mana?
+ Tak.

Aku merenung wajah Iskandar. Dan dia tergelak kecil.

Kalau ada headphone kan boleh dengar suara tawanya. Terlintas di hatiku menelefonnya untuk mengetahui bagaimana agaknya suara dia? Adakah sehebat wajahnya yang mampu mencairkan jiwa itu?

Iskandar memandang papan kekuncinya untuk menaip lagi. Aku menunggu dengan penuh tanda tanya. Pelbagai persoalan muncul di mindaku. Aku menggelabah sebab tak tahu hendak bertanya soalan yang mana dulu. Gabra tahap gaban.

- Kalau kita ke Subang, I akan tunjuk pada you ofis I.
+ Okey. You selalu balik lambat ke?
- Kalau sibuk. You dah makan?
+Dah...  You?
- Belum. I teringin nak makan dengan you... boleh ke?

Kami berbalas senyuman. Teringin aku bertanya usianya tapi aku kira ia tidak begitu penting. Mungkin kalau berhadapan, bolehlah. Atau seandainya dia bertanya usiaku, tentulah aku akan menyoal kembali pertanyaan yang sama. Barulah tak nampak janggal.

Aku kira serupa dengan persoalan sama ada dia sudah berkahwin atau pun belum. Boleh tahu ke bila tengok gaya? Lelaki yang sudah berkahwin boleh ke berlagak bujang? Isterinya mungkin sudah tiada... dan dia sedang mencari pengganti.

Huh, banyak calon di dalam FB. Boleh pilih yang mana berkenan. Kebanyakannya tentu akan ‘menyerah diri’ pada lelaki yang seperti Iskandar ini. Secara zahirnya memiliki segala-galanya
tapi sukar nak pastikan berapa ketinggiannya kecuali dia berdiri atau berjalan ke pintu semasa sedang ber-Skype.

- Kalau tak sudi, tak apa...
+ Bukan tak sudi tapi kerja I tak menentu. Mungkin weekend pun kena kerja. Jadi, tak ada masa nak jumpa.
- Agensi kan selalunya tutup hari Ahad?
+ Maksud I, kerja promosi di pusat membeli-belah.
- Hmm... waktu rehat bolehlah kita jumpa. Atau I hantar you balik, kalau you sudi...

Kami ber-Skype beberapa minit lagi sebelum Iskandar berkata yang dia nak balik. Sekali lagi dia memberi nombor telefonnya. Dia meminta aku berjanji untuk missed call dia supaya dia boleh save nombor telefon aku. Katanya lagi, dia tidak akan call sehingga kami bertemu nanti. Maknanya, dia hanya akan SMS. Sebabnya, dia mahu mendengar suara aku buat kali pertama secara berhadapan. Face to face.

Ahh, tiada lelaki yang ku kenali sebelum ni yang begitu. Hmm... barangkali begitu sifat orang yang romantis. Kelass, beb!

 

Sedutan susulan novel 3 Kata Hati akan terbit pada Isnin ini.

Untuk Urusan Langganan, layari: mall.karangkraf.com, hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  atau HP: 019-3310102 atau  atau e-mel alaf@alaf21.com.my

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.