• Noh Omar, Herman Tino
1 /

TANJONG KARANG - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum 5 Mei ini menghadapi pertandingan tiga penjuru apabila ditentang penyanyi dangdut Herman Tino dan seorang calon Pas.

Noh, 55, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merupakan anggota Parlimen selama empat penggal bagi kerusi Tanjong Karang sejak 1995.

Herman Tino, penyanyi era 80-an bertanding sebagai calon Bebas sementara calon Pas ialah Timbalan Yang Dipertua Pas Tanjong Karang, yang juga bekas guru, Mohamad Rashdi Deraman, 49.

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, popular dengan lagu seperti 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sek Men Keb Dato' Haron di sini.

Beliau akan menggunakan lambang bunga raya pada pilihan raya ini.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang, pertandingan tiga penjuru berlaku antara calon BN Sulaiman Abdul Razak yang juga penyandang kerusi itu, calon PKR Mohd Yahya Mat Sahri dan calon Bebas peniaga, Low Tan.

Dun Sungai Burong pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mohd Shamsuddin Lias (penyandang) dan calon Pas, Mohamad Judi Sarjo.

Noh yang ditemui pemberita selepas mengemukakan kertas percalonan di Dewan Datuk Hormat di sini, berkata kawasan Parlimen itu mencipta sejarah apabila pertama kali mempunyai calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Noh yang berasal dari Parit 2, Sungai Burung di Tanjong Karang menewaskan Mohamed Hanipa Maidin (Pas) dengan majoriti 3,820 undi.

"Trend calon Bebas pada pilihan raya umum kali ini menunjukkan negara kita mengamalkan demokrasi, siapa pun boleh bertanding. Apapun saya yakin BN akan
mengekalkan kerusi Parlimen dan dua Dun ini memandangkan kita telah memberi khidmat yang baik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Herman Tino ketika ditanya mengapa bertanding sebagai calon Bebas, berkata beliau sebagai seorang artis hanya ingin 'mencantikkan keadaan'.
"Saya tidak kisah kalau terlepas pandang, tetapi saya kisah kalau saya tidak dipandang," katanya.

Parlimen Tanjong Karang menjadi satu-satunya kawasan di Selangor yang mengekalkan kesemua calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum 2008 lalu
pada PRU13.

Parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113). - Bernama