• Nik Aziz menyerahkan simbolik watikah perlantikan kuasa kepada  Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh KHIRUL SHALEH Nik Aziz menyerahkan simbolik watikah perlantikan kuasa kepada Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh KHIRUL SHALEH
1 /

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pencalonan anaknya, Nik Abduh bukan bersifat ‘proksi’ beliau sebaliknya mewakili parti.
 
Ini berikutan dakwaan pencalonan Nik Abduh di Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah mewakili dirinya (Nik Aziz) yang merupakan pemimpin tertinggi Pas.
 
Malah menurutnya, beliau tidak pernah memberi petunjuk kepada pimpinan parti supaya memilih anaknya itu bertanding di mana- mana kerusi pada PRU13 nanti.
 
“Saya sepatah pun tak sebut agar anak saya dicalonkan, saya tahu kalau saya sebut, khianat saya,”katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kutipan Derma Bagi Membina Masjid Al-Ihsan di kawasan Perumahan Taman Maju di sini, semalam.
 
Nik Aziz berkata, semua calon adalah mewakili parti dan tidak ada seorang calon pun yang mewakili pemimpin tertentu.
 
Sementara itu, Nik Abduh dijangka menentang calon bebas Datuk Ibrahim Ali dan calon Barisan Nasional (BN) Che Johan Che Pa pada PRU13 nanti.
 
Mengulas kewajaran pelantikan Nik Abduh, Nik Aziz berkata, anaknya itu sudah lama terlibat dalam politik dan sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat.
 
Dalam pada itu, pengumuman calon Pas dan PKR Kelantan semalam menyaksikan 16 muka baru diketengahkan pada pilihan raya umum kali ini.