KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif, yang ditutup tinggi minggu ini, berkemungkinan turun apabila diniagakan minggu depan.
    
Peniaga Kanan Interband Group, Jim Teh berkata harga-harga MSM akan bergerak antara RM2,200 dan RM2,300 untuk satu tan metrik.
   
"Stok untuk bulan April juga dijangka meningkat 15 peratus daripada 1.9 juta tan metrik inventori pada masa ini,' kata beliau kepada Bernama.
    
Teh, bagaimanapun berkata permintaan dari Timur Tengah menjelang bulan Ramadan akan memberi sokongan kepada harga.
    
Sementara itu, juruukur kargo, Societe General de Surveillance dan Intertek Testing Services, dijadual mengeluarkan anggaran eksport masing-masing untuk anggaran tempoh 25 hari pertama bulan Mei, yang akan memberikan sedikit rangsangan kepada pasaran.
    
Berdasarkan kepada perbandingan Khamis-Jumaat, Jun 2013 meningkat RM6 kepada RM2,340 setiap satu tan metrik, Julai 2013 menokok RM33 kepada RM2,378 setan metrik, Ogos 2013 lebih tinggi RM35 kepada RM2,371 setan metrik dan September 2013 meningkat RM11 kepada RM2,361 setan metrik.
    
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 138,108 lot daripada 169,143 lot minggu lepas sementara kepentingan terbuka lebih tinggi kepada 210,029 kontrak daripada 205,413 kontrak Jumaat lepas.
    
Di pasaran fizikal, Selatan Mei ditutup RM10 lebih tinggi pada RM2,350 setan metrik.
    
Pasaran ditutup pada hari Jumaat sempena cuti umum Hari Wesak dan urus niaga akan kembali diniagakan pada hari Isnin. - Bernama