YAMAN - Tragis dan cukup pilu! Itulah ungkapan yang dapat digambarkan mengenai penderitaan rakyat di sini, ketika ini.

Bencana krisis kemanusiaan yang melanda negara berkenaan menyebabkan negara itu dilanda derita yang amat dalam.

Anak-anak kecil tidak terkecuali, hinggakan mereka sudah tiada apa yang mahu ditangisi lagi kerana kehidupan di sana sesusah-susahnya.

Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Alhalabi berkata, apa yang mereka saksikan disana sebagai satu malapetaka yang maha dahsyat.

Katanya, hati ini begitu remuk tatkala melihat bayi yang begitu lemah kerana sudah lama tidak mendapat makanan yang secukupnya.

"Air mata bayi ini sudah kering untuk menangis, dia sudah tidak berdaya, badanya terlalu lemah kerana lapar.

"Berkali-kali kami menggeleng kepala.

"Ya ALLAH. Benarkah apa yang sedang kami tatap ketika ini," kongsinya di Facebook.

Berkongsi mengenai kisah kehidupan di Yaman, Syahrir berkata satu demi satu fakta mengenai krisis Yaman beliau baca berulang kali.

"Bukan sukar untuk faham kerana kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris, tetapi kami cuba untuk mengingat saat menjalankan misi bantuan di Yaman setahun yang lepas dan menghadam serta akhirnya terpaksa akur untuk percaya bahawa Yaman kini sedang tenat," katanya.

Jelasnya, beberapa fakta mengenai krisis kemanusiaan yang disebutkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) sebagai terburuk pada abad ini  iaitu.

"Daripada sejumlah lebih 28 juta penduduk Yaman ketika ini, 22 juta atau 3/4 daripada populasi Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

"Lebih 3 juta terpaksa melarikan diri dan kehilangan tempat tinggal. (Internally displaced Person)," katanya.

Jelasnya, lebih 16 juta tidak mendapat akses kepada bantuan perubatan dan air bersih.

"11 juta kanak-kanak hidup seperti di dalam neraka dunia ketika ini di Yaman. 1.5 juta daripadanya berhadapan dengan malnutrisi akut dan 400,000 sedang kritikal!.

"18 juta penduduk Yaman berhadapan dengan krisis makanan dengan 8.4 juta tidak tahu bilakah hidangan makanan seterusnya akan dapat mereka nikmati," katanya.

Jelasnya, 1 juta kes kolera dilaporkan sehingga Disember 2017 disebabkan oleh konsumsi air yang tidak bersih dan sehingga kini telah membunuh hampir 2,500 orang.

"Dilaporkan setiap 10 minit yang berlalu, sorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan juga penyakit-penyakit lain yang tidak dapat dirawat dengan sempurna kerana kekurangan fasiliti dan juga ubat-ubatan.

"Apa yang paling terkesan apabila Helle Thorning -Schmidth CEO Save the Children International menceritakan bagaimana ketika beliau melawat sebuah hospital di utara Yaman, beliau mendapati bayi di sana terlalu lemah walau untuk menangis sekalipun," katanya.

Inisiatif #PeduliYaman oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia bukan sekadar usaha untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Yaman, tetapi ianya adalah usaha untuk menyelamatkan nyawa mereka yang masih bertahan.

Jujurnya, tidak mudah untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Yaman ketika ini, tetapi GPM sedang mengusahakan jalan yang terbaik agar ianya dapat disempurnakan.

Semoga segala usaha ini dipermudahkan dan kami ingin sampaikan rasa terima kasih kepada para penyumbang budiman yang telah menyalurkan sumbangan #PeduliYaman melalui akaun GPM yang sehingga kini telah terkumpul sebanyak RM 15,781.35.

Sejumlah RM 234,218.65 lagi diperlukan bagi fasa bantuan pertama dan kedua.

Boleh bantu kami untuk sampaikan usaha ini kepada semua?

Bersama #PeduliYaman.

Sumbangan boleh disalurkan melalui dua cara berikut :

1. Secara dalam talian:

Peduliyaman

2. Deposit ke akaun GLOBAL PEACE MISSION (GPM) MALAYSIA :

Maybank: 5642 2161 1602

Bank Islam: 1402  3010  02922 4

Ref: Yaman

e-mel: gpmkewangan@gmail.com

Maklumat lanjut boleh terus klik link WhatsApp berikut:

www.wassap.my/60132226057/peduliyaman

ATAU

Hubungi pejabat GPM: 03 4144 3441

Terima kasih

“Misi Kemanusiaan Merentasi Sempadan”

Ikuti page Global Peace Mission (GPM) Malaysia