MASIH muda berbanding individu lain menjawat jawatan sama namun semangatnya untuk melihat perpaduan erat dalam kalangan masyarakat tidak pernah padam malah sentiasa membantu mereka dalam kesulitan.

Beliau juga bersedia untuk memberi khidmat 24 jam bagi memastikan penduduk yang menetap di kawasan seliaannya iaitu di kawasan Kampung Cina di Kuala Terengganu ini tidak mengalami sebarang kesulitan.

Wong Kah Foo, 34, merupakan Pengerusi JKKK Bandar/ Kampung Cina di Kuala Terengganu yang merupakan antara kampung punyai penduduk berbilang kaum di negeri ini.

Bapa tiga anak itu memegang jawatan Pengerusi JKKK Kampung Cina buat tahun keempat dan pada masa sama juga merupakan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Cina.

Beliau yang selesa dipanggil Wong berkata, menjaga penduduk di kawasan bandar agak berbeza berbanding dengan penduduk di kawasan kampung kerana perjumpaan dengan penduduk agak terhad sebab itu beliau mengambil pendekatan 'on call'.

“Ada masalah, mereka boleh telefon sahaja.  Boleh jumpa di mana sahaja jika perlu. Dengan keadaan semasa ini, semua perkara perlu cepat bertindak dan dilaksana.

“Malah, jika perlu pengesahan dari saya, mereka telefon sahaja, di kedai kopi pun, saya boleh memberi khidmat.  Paling penting, selesai tanpa tangguh,” katanya.

Malah semasa sesi temubual itu berlangsung di sebuah kedai Black Coffe di Kampung Cina, Wong turut ditemui untuk mendapatkan pengesahannya.

Menurutnya, semasa mula menggalas tanggungjawab tersebut pelbagai perasaan timbul tetapi ia sebagai cabaran memandangkan usia ketika itu masih muda berbanding majoriti penduduk yang sudah berumur.

“Saya anggap ia satu cabaran.  Malah, bagi memastikan ia berjalan lancar saya melantik JKKK di kalangan orang muda.

“Bukan bermaksud menolak mereka yang terdahulu sebab mereka tidak bagus, tetapi saya ingin merancakkan lagi kampung ini dengan pelbagai aktiviti sesuai dengan kehendak masyarakat.

“Paling tidak, empat kali aktiviti sebulan. Kedudukan dan juga fungsi kampung ini yang merupakan produk pelancongan negeri memerlukan kita sentiasa proaktif dan juga kebersihan terjaga,” katanya.

Sebagai pengerusi di kalangan belia, beliau lebih bertuah kerana lebih memahami kehendak orang muda.

Menurutnya, bukan mudah untuk menggerakkan sesebuah pasukan tanpa dana yang mencukupi namun pihaknya bersyukur kerana masih mendapat perhatian pelbagai pihak seperti wakil rakyat dan masyarakat setempat.          

“Kerja sukarela ini telah mengeratkan hubungan di antara anggota tidak kira kaum malah kami umpama keluarga besar yang bersatu atas niat ikhlas untuk membantu tanpa mengharapkan ganjaran.

“Sikap tolong-menolong ini menjadi tunjang kekuatan tidak membezakan warna kulit dan agama malah mereka sering berjumpa di luar bertukar-tukar pendapat selepas tamat tugasan.

“Masing-masing sudah faham kerana tugas sukarelawan ini juga mengajar kami untuk ikhlas di antara satu sama lain selain amanah di dalam kerja,” katanya.

Selain menjadi pemimpin setempat, beliau juga merupakan Timbalan Bendahari Persatuan Bola Keranjang Malaysia dan terbaharu beliau dilantik sebagai Pengurus Pasukan Bola Keranjang Sukma 2018.