HONG KONG - Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Sedunia (WCES) bertema 'Menangani Ketidaktentuan Global: Meneroka Peluang Baharu' yang berakhir hari ini telah dapat menggabungkan usahawan dan peniaga dari Malaysia dengan peniaga tanah besar China serta diaspora Cina di luar negara, terutama di Hong Kong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada waktu yang sama diaspora Cina dari pelbagai negara boleh melabur di Malaysia sama ada secara terus, melalui kerjasama atau usaha sama dengan syarikat Malaysia.

“Peluang ini tentunya boleh diperolehi melalui pemadanan perniagaan, terutama apabila terdapat sidang kemuncak atau sidang antarabangsa atau pun mesyuarat peringkat tinggi antara diaspora Cina di luar negara,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Turut  hadir Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macau, Datuk Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan Konsul Malaysia, Grace Rebekah Teh.       

Ahmad Zahid juga berkata, dengan termeterainya Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Hong Kong kelmarin akan  memberi peluang terbaik kepada diaspora Cina di Hong Kong melabur di Malaysia.

“Dengan iklim pelaburan terbaik, insentif dan beberapa pelepasan cukai akan menjadi elemen penting untuk menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid pada Isnin menyampaikan ucaptama pada WCES, acara utama antarabangsa yang bermatlamat meningkatkan perhubungan dan rangkaian perniagaan antara China dan ASEAN.

Persidangan dua hari yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan akademik serta pemikir dari 30 negara juga bertujuan meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan pemeteraian FTA ASEAN-Hong Kong yang melengkapi FTA China-ASEAN.

Ia dianjur oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Antara mereka yang memberi ucapan khas ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang juga Penasihat Kehormat WCES. - Bernama

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HONG KONG - Pelaburan China dalam pembangunan infrastruktur memberi manfaat kepada pembangunan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) memandangkan kesalinghubungan yang lebih baik adalah pemacu utama pertumbuhannya.
  • HONG KONG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesa diaspora Cina global untuk melabur di Malaysia.
  • HONG KONG - Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Hong Kong dan Asean yang ditandatangani semalam semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean di Manila, Filipina, akan memberi peluang kepada Malaysia menarik lebih ramai pelabur Hong Kong.
  • HONG KONG - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia di sini pada Isnin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.