KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menegaskan tidak pernah menawarkan pinjaman mikro dan telah mengesan satu akaun pengguna Facebook yang menawarkan perkhidmatan itu menggunakan nama serta logo Perkeso.

“Kami ingin menegaskan bahawa Perkeso tidak pernah memberi sebarang kemudahan pinjaman mikro atau mengiktiraf mana-mana pihak atau syarikat untuk menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai ataupun pencarum menggunakan nama dan logo Perkeso,” kata Perkeso dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perkeso yang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu yang mengelirukan orang rami, memandang serius penggunaan nama dan logo secara sembarangan demi kepentingan pihak tertentu.

“Perlakuan yang tidak beretika ini adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan. Perkeso juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan palsu seperti ini,” katanya.

Sebagai sebuah agensi kerajaan yang mentadbir dan melaksanakan perlindungan keselamatan sosial di negara ini, Perkeso menyediakan perlindungan kepada pencarum melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dan Akta Sistem Ansuran Pekerjaan 2017 yang memberi faedah perlindungan kepada pencarum jika berlaku insiden bencana kerja, keilatan dan hilangan pekerjaan.

Bagi mengesahkan sebarang maklumat yang diterima, orang ramai boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Perkeso di 1-300-22-8000 atau kunjungi mana-mana pejabat Perkeso di seluruh negara. - Bernama