• Warga asing pandu lori tanpa lesen
1 /

BUKIT BERUNTUNG - Dua lelaki warga asing ditahan dipercayai memandu kontena tanpa lesen dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol di sini, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, sekatan jalan raya itu dilakukan oleh lapan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor. 
 
“Malam ini (semalam) kita tahan dua lelaki warga asing dari Pakistan dan Sri Lanka. Berdasarkan pemeriksaan awal, kita dapati mereka memandu lori tanpa memiliki lesen.
 
“Perbuatan mereka amat membahayakan kepada pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.
 
Menurutnya, operasi tengah malam antara 1 pagi hingga 3 pagi tersebut merupakan operasi rutin di kawasan berkenaan. 
 
Polis juga membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal.
 
“Kedua-dua warga asing itu, kita (polis) terpaksa tahan untuk semakan dokumen,” katanya.