KUALA LUMPUR - Wanita Umno akan membanjiri Dataran Merdeka dalam himpunan ummah sempena kejayaan membantah ratifikasi ICERD esok.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, lebih 20,000 ahlinya akan 'memutihkan' Dataran Merdeka.

"Dengan memakai baju putih dan tudung putih, Wanita Umno akan sama-sama berhimpun bersama Pas dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk 'putihkan' Dataran Merdeka.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas jamin patuh arahan himpunan]

"Himpunan ini adalah manifestasi penyatuan ummah dalam mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial berkaitan rang Islam, kaum Melayu dan Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sempat menjelaskan tujuan utama himpunan tersebut susulan ada cubaan pihak tertenty mengambil kesempatan.

"Pada masa yang sama, tujuan utama himpunan tersebut adalah untuk menzahirkan kesyukuran di atas pembatalan ratifikasi ICERD.

"Justeru, kita tidak mahu orang ramai tersalah tafsir mengenai himpunan ini kerana terdapat ramai pihak cuba mengambil peluang dengan memburuk-burukkan himpunan sedangkan kita hanya akan berhimpun secara aman," katanya.