BANGI - Wanita perlu diberi peluang yang lebih besar dalam dunia perniagaan dan bidang profesional supaya boleh terus berdaya saing.

Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif Malaysia (Pewangi), Datin Nabilah Sanusi berkata, mereka berhasrat membantu golongan wanita supaya dapat berdikari dan berdiri sendiri serta menjadi lebih kreatif dalam kehidupan tanpa mengharapkan bantuan, dana dan geran.

"Kita nakkan peluang-peluang besar yang baru supaya mereka boleh terus melangkah ke hadapan kerana golongan wanita mampu turut sama menjana ekonomi bukan sahaja untuk diri sendiri, untuk keluarga dan untuk negara tetapi dipandang sepi.

"Pewangi ingin membantu semua pihak ini supaya mereka tidak lagi menjadi tangan yang di bawah atau sentiasa mengharapkan bantuan, kami mahu golongan wanita boleh berdikari dan mampu berdiri sendiri dengan menjadi lebih kreatif dalam kehidupan," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini semalam.

Selain membantu golongan wanita berjaya dalam perniagaan dan kerjaya profesional, Pewangi juga berusaha untuk meningkatkan penglibatan golongan wanita dalam menyumbang kepada pembangunan sahsiah masyarakat dan negara.

Katanya, Pewangi mahu menjadi satu platform yang menjadi kumpulan sokongan kepada wanita di seluruh negara untuk berganding bahu membantu antara satu sama lain.

"Kami mahu mendidik golongan wanita agar turut sama membantu kerajaan dalam menangani dan membasmi masalah-masalah sosial yang melanda masyarakat mutakhir ini," katanya lagi.

Ditubuhkan sejak lima tahun yang lalu, Pewangi berusaha untuk menjadi pusat latihan dan hub pengetahuan untuk wanita dalam pemikiran kreatif dan perniagaan dan keusahawanan di Malaysia.

NGO ini semakin mengembangkan sayapnya ke luar negara dan berusaha untuk membantu usahawan tempatan untuk mendapatkan peluang di negara-negara lain.

Oleh itu, Pewangi akan menganjurkan majlis makan malam untuk mengutip dana bagi mengisi tabung kemanusiaan Syria Care dan golongan gelandangan di negara ini pada pada 27 Julai nanti.

"Sumbangan dari orang ramai ini akan kami berikan kepada mereka yang memerlukan dalam bentuk kewangan, buku sekolah, pakaian dan sebagainya," katanya.