KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pelantikan itu adalah bagi menggantikan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang telah tamat tempoh pelantikannya dan setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jamil dalam satu kenyataan di sini malam ini berkata, pelantikan Wan Zahdi, 75, adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang dan lapangan kerjaya khususnya berkaitan dengan hal ehwal Islam.

Selain pernah berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Zahdi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah) serta Ijazah Sarjana (Usul Fiqh) dari Universiti Al-Azhar Mesir pernah menyandang jawatan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan serta pernah menjadi Pengerusi Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Wan Zahdi yang berasal dari Grik Perak juga pernah menjadi Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam pada itu Jamil menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Shukor atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada agama, bangsa dan negara sepanjang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI.

Abdul Shukor menyandang jawatan berkenaan sejak 2005. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - "Generasi muda khususnya para siswazah di negara ini perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam mendepani kedatangan Revolusi Industri 4.0," kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
  • KUALA LUMPUR - Langkah mewajibkan penceramah Islam sama ada dari dalam atau luar negara mendapatkan tauliah bertujuan untuk mengelak berlakunya penyelewengan, selain menjaga hal-hal berkaitan sensitiviti masyarakat.
  • SEPANG - Malaysia yakin program prapelepasan jemaah haji di tempat berlepas yang dilaksanakan secara perintis tahun ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada musim haji akan datang berikutan kepercayaan kerajaan Arab Saudi terhadap kemampuan teknologi negara ini.
  • YAN - Sekolah-sekolah aliran agama persendirian di seluruh negara digalakkan menerapkan aspek kokurikulum khususnya sukan dalam kalangan pelajarnya sebagai nilai tambah sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.