BRUSSELS - BELGIUM. "Pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender perlu diiktiraf dan diperakukan sebagai prasyarat untuk merealisasikan pembangunan mampan," kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Seperti kata-kata Malala Yousafzai (aktivis warga Pakistan bagi pendidikan wanita dan penerima termuda anugerah Nobel yang terkenal dalam memperjuangkan hak asasi manusia), 'Kita semua tidak akan berjaya apabila sebahagian daripada kita disekat',” katanya ketika berucap pada sesi pleno kedua Sidang Kemuncak Asia-Eropah (Asem) Ke-12 di sini Jumaat.’

Bertema 'Memperkukuh Sistem Pelbagai  Hala: Meningkatkan Kerjasama Asem Untuk Cabaran Global', Dr Wan Azizah menyentuh pelbagai perkara seperti kesaksamaan gender, kepelbagaian, pembangunan mampan dan dasar-dasar Malaysia baharu dalam ucapannya itu.

Ini adalah lawatan pertamanya ke Eropah sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 21 Mei selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata dasar-dasar Malaysia Baharu mahu memastikan perkongsian samarata wanita dalam mendapatkan sumber, maklumat, peluang dan manfaat pembangunan.

"Di  Malaysia, kami komited melaksanakan pelbagai langkah dalam meningkatkan peranan dan status wanita, dan untuk memastikan hak mereka terus dilindungi, selaras dengan komitmen kami untuk melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan 2030 bagi  Lima Matlamat," katanya.

Beliau berkata baru-baru ini Malaysia mewujudkan skim yang mengiktiraf sumbangan suri rumah dalam pembinaan negara dengan memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi di hari tua.

"Skim ini, dinamakan I-Suri atau Insentif Pencen Suri Rumah, membolehkan suri rumah mencarum dalam Dana Pencen Negara (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kami), dengan pihak kerajaan akan menambah jumlah caruman itu setiap bulan.

"Menerusi I-Suri, kami memperluaskan perlindungan sosial yang dinikmati anggota tenaga kerja kepada suri rumah yang tidak bergaji," kata Dr Wan Azizah.

Selain itu, katanya kerajaan akan terus berusaha untuk memperkasakan dan meningkatkan kemahiran wanita menerusi inisiatif Kepimpinan Wanita, untuk memastikan bakat mereka dipadankan dengan peranan membuat keputusan.

“Walaupun kerjaya adalah penting bagi wanita, keluarga jauh lebih penting bagi mereka. Sebab itu kenapa kerajaan akan mewajibkan semua jabatan kerajaan menyediakan pusat asuhan harian kanak-kanak  pada harga munasabah di premis mereka, supaya wanita dapat bekerja dengan tenang.

“Semua inisiatif  ini mengesahkan bahawa Malaysia mengiktiraf  peranan penting wanita dan memerlukan penyertaan dan kepimpinan mereka dalam semua bidang dalam masyarakat,” katanya.

Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asem bertemakan "Eropah dan Asia: Rakan Kongsi Global Untuk Cabaran Global” bermula Khamis.

Sidang kemuncak Asem selama dua hari itu menghimpunkan ketua negara/kerajaan 51 negara Asia dan Eropah, wakil Kesatuan Eropah (EU) dan setiausaha agung Asean. - Bernama