SHAH ALAM - Wacana Sinar Harian siri ke-48, Pakatan Harapan vs Barisan Nasional, Mari Kita Nilai yang berlangsung hari ini, dijangka menjadi tumpuan ramai bukan sahaja rakyat secara umum, malah mereka yang terlibat secara langsung dalam politik.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian percaya, dengan barisan panel berkelayakan, hujah dan kupasan diutarakan berupaya menjadi bahan rujukan yang dibincangkan lebih mendalam pelbagai pihak.

“Temanya sudah pasti dekat di hati masyarakat, apatah lagi panel yang dipilih barangkali telah buat kajian dengan tajuk tersebut.

“Maka harapan masyarakat dan pemerhati, sejauh manakah gambaran yang diberi memaparkan keadaan sebenar dari segi pemetaan politik tanah air, khususnya di peringkat arus perdana.

“Dan sejauh manakah penilaian itu bersifat empirikal yang memberikan penjelasan ke atas kedudukan politik tanah air, walaupun ia membabitkan gabungan besar iaitu Pakatan Harapan dan BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, masyarakat secara umum amat menantikan perbincangan ilmiah bagi membuka minda bukan sahaja kepada pengundi tegar, bahkan kepada pengundi atas pagar bagi menentukan kerajaan pada PRU14.

“Harapan tinggi disandarkan kerana mereka dianggap pemerhati politik dan sudah tentu apa dilontar itu menjadi sandaran, bukan hanya kepada penyokong, malah ahli politik dan strategik.

“Idea dibawa akan mempunyai ekspektasi yang tinggi. Saya percaya idea ini penting untuk dikupas oleh pelbagai pihak,” katanya yang turut teruja menantikan inti pati kupasan ahli panel.

Menurutnya, bagi masyarakat yang berada di atas pagar, perbincangan wacana ini menjadi sandaran sekiranya dilihat rasional dan praktikal.

“Bagi mereka yang setia kepada parti, mereka tidak tergugat, tetapi yang atas pagar, ia berkemungkinan kerana mereka ini melihat kepada suasana sekitar tiga ke enam bulan sebelum pilihan raya. Namun, ia menjadi dominan,” jelasnya.

Sinar Harian sekali lagi membawakan Wacana Sinar Harian menjelang PRU14, dengan mengetengahkan Penganalisis Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik, Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Penganalisis Politik Ideas, Wan Saiful Wan Jan sebagai ahli panel.

Ia dikendalikan oleh Nazri Kahar dari Astro Awani selaku moderator dan berlangsung dari jam 2.45 hingga 5.45 petang di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, sebagai NGO memperjuangkan orang Melayu, beliau berharap agenda Melayu itu dibawa pemimpin politik kedua-dua parti.

“Kita juga berharap kepentingan agama Islam turut sama diberi perhatian termasuk juga soal  integriti pemimpin politik," katanya.

Justeru, beliau mengajak orang ramai sama-sama mendengar pandangan dan kupasan barisan ahli panel.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.