SHAH ALAM - Siri Wacana Cendekiawan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) merupakan program ilmiah dan bukannya politik di mana ahli panel yang dijemput adalah di kalangan ahli akademik pakar dalam bidang masing-masing.

Pengarah Atma, Prof Dr Supyan Hussin berkata, wacana Atma dijalankan sebagai program sokongan akademik bagi menghubungkaitkan antara apa yang dipelajari dalam bilik kuliah dengan suasana semasa.

“Atma tidak mengundang orang politik untuk mengupas isu-isu yang berkaitan dengan bidang sejarah, budaya, dan arkeologi yang merupakan bidang pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

“Kalau kuliah terhad kepada input dari seorang pensyarah yang sama, wacana membawa tokoh-tokoh berbeza untuk memberikan input dari pelbagai dimensi dalam pengajian ilmu yang sedang dikuti oleh pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Wacana Cendekiawan Atma diteruskan ]

Mengulas lanjut beliau berkata, tajuk yang dipilih untuk wacana tersebut mempunyai asas yang kukuh dan ia tidak terhad kepada kurikulum pengajian akademik semata-mata tetapi sifatnya kontemporari.

“Wacana ini terbuka kepada awam di mana penonton yang hadir boleh bertanya soalan jika perlu, berbahas dengan ahli panel jika bersedia, dan memberi pandangan jika ada semasa dalam sesi Wacana.  

”Tujuannya agar pelajar dapat menguji pengetahuan mereka dan dikaitkan dengan analisis isu dan peristiwa semasa yang berlaku dalam negara dan dunia,” katanya.

Jelas beliau, Atma merasa terpanggil untuk mengadakan siri wacana ini selepas negara dikejutkan dengan cetusan polemik oleh beberapa pihak mengenai sejarah lampau yang melibatkan isu orang India, kaum Tamil, Raja Chola, Lembah Bujang dan Melayu serta kaitannya dengan agama Hindu di Tanah Melayu.

“Ia menjadi satu daya tarikan yang kuat kepada rakyat yang sensitif tentang sejarah Tanah Melayu di mana orang awam membahaskan isu ini tanpa ada sandaran ilmu yang jelas dan kuat kerana masing-masing cuba memberi pendapat dan hujah yang tidak tersusun.

“Justeru ATMA merasa terpanggil untuk mengadakan wacana ilmiah ini secara terbuka di mana ahli panel berlatarbelakang kepakaran dalam bidang sejarah dan arkeologi diundang khas untuk memberikan pandangan secara ilmiah,” ujarnya.

Katanya, tidak wajar kritikan dan andaianya negatif diberikan sebelum wacana tersebut diadakan kerana ia tidak menunjukkan kematangan.

“Kita boleh memahami kalau kritikan dibuat selepas pihak berkenaan mendengar hujah, tetapi dimana rasionalnya kritikan berlaku sebelum ahli panel berhujah.

”Sebagai rakyat yang rasional dan mempunyai kadar literasi yang tinggi, kita harus bersedia untuk mendengar dahulu apa yang diperkatakan oleh para ahli panel dan tidak membuat andaian yang tidak perlu apabilia melihat tajuk sahaja,” katanya.