SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri menjelaskan seorang individu dalam video pertengkaran tular di media sosial yang mendakwa diri daripada kementerian itu adalah Ahli Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dilantik pada Februari 2015.

Dalam satu kenyataan, KDN berkata, siasatan lanjut mendapati individu itu juga telah digantung dari jawatan tersebut atas kesalahan salah guna kuasa pada Mei 2017.

“KDN memandang serius sebuah klip video yang tular di media sosial sejak semalam mengenai satu insiden pertengkaran di lebuh raya di mana seorang individu dalam video tersebut telah mendakwa dirinya dari KDN.

”Kementerian memohon agar pihak terlibat untuk tampil membuat laporan polis supaya tindakan selanjutnya untuk menyiasat individu tersebut boleh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, KDN memanjangkan klip video tersebut kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

”KDN ingin mengingatkan warga KDN atau mana-mana individu agar tidak salah guna nama KDN untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Semalam, sebuah klip video berdurasi satu minit mengenai satu insiden pertengkaran di lebuh raya mula tular di media sosial.

Dalam kejadian tersebut melibatkan tiga buah kereta di mana salah seorang pemandu yang mendakwa dirinya sebagai anggota KDN telah mengugut salah seorang pemandu.