Vespa 52 tahun tarikan Sinar Automart
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM - Vespa Rally 200 yang berusia 52 tahun menjadi tarikan pengunjung Karnival Sinar Automart yang berlangsung buat minggu ketiga, hari ini.Vespa yang telah diubah suai secara berperingkat itu dimiliki turun-temurun oleh keluarga Mohd Akhbar Abu Bakar.

Akhbar, 30, berkata, vespa peninggalan datuknya itu  kini menjadi barang paling berharga yang tidak akan dijual kerana di Malaysia kini hanya terdapat 20 buah vespa jenis itu.

Malah, beliau berkata, vespa itu juga merupakan motor yang pernah digunakan oleh bapanya ketika meminang ibunya pada tahun 1970-an."Arwah datuk saya sebelum meninggal dunia mewasiatkan supaya saya jaga vespa ini baik-baik.

Bapa saya juga kata, jangan jual vespa ini. “Banyak kenangan mereka dan saya juga akan jaga vespa ini elok-elok seperti yang diminta arwah datuk dan hajat arwah datuk tercapai, lagi pun sehingga kini ia masih boleh digunakan,” kata Akhbar lagi.

"Vespa ini juga memakan masa setahun untuk saya baiki kerana sukar untuk mendapatkan alatan gantinya. Saya juga pernah bawa vespa ini sehingga ke Thailand," katanya ketika ditemui di Kompleks Media Karangkraf di sini.

Sebanyak 60 vespa menyertai pameran Sinar Automart hari ini. Pameran yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang itu menampilkan pemilik vespa yang rata-rata datang dari Lembah Klang, Tanjung Malim dan Melaka.

Sementara itu, pemilik Vespa dari Melaka, Mohamed Abdul Rahman, 63, berkata, motor miliknya itu telah diubah suai bagi memberi kelainan berbanding vespa yang ada di Malaysia.

Katanya, pengubahsuaian vespa yang berusia 30 tahun itu memakan masa tiga tahun dan menelan belanja sekitar RM5,000.

"Vespa ini unik. Tangki yang ada di antara tempat duduk dan pemegang vespa itu berasal dari Britian, pada tahun 1960-an.

"Apa yang menyebabkan saya suka pada vespa ialah ia mudah dan tidak senang rosak. Ia diubah suai sebab saya inginkan kelainan kerana tidak ada lagi orang yang buat vespa mereka seperti ini. Vespa ini juga saya pernah bawa jelajah Semenanjung selama enam hari," katanya.

Sinar Automart yang bermula 5 Februari lalu dianjurkan oleh Kumpulan Media Karangkraf untuk memberi peluang kepada syarikat dan orang persendirian mengiklankan kenderaan baru serta terpakai melalui konsep Iklan, Pamer dan Jual.

Setakat ini, ia mendapat respons yang menggalakkan daripada pengunjung. Ia diadakan setiap hari Ahad.

Sebelum ini, pelbagai aktiviti telah diadakan, antaranya kereta antik berkualiti tinggi, yang diubah suai dengan enjin turbo dan kereta yang pernah membuat persembahan pada Saturday Night Fever di Sepang serta teksi London.

Mereka yang berminat untuk menyertai Sinar Automart boleh menghubungi Zulkhafle menerusi talian 019-2195877, Azliza 0192297220 dan Azli 0197071474.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.