TAIPING - Kemampuan polis melalui Unit VAT 69 Komando menumpaskan ancaman komunis di Malaysia sehingga diiktiraf dunia membuktikan keupayaan agensi itu sebagai komponen benteng keselamatan negara sehingga kini.

Komander Unit VAT 69 Komando, Datuk Fisol Salleh berkata, ketika ini satu dunia mengetahui dan mengiktiraf keupayaan Malaysia sebagai satu-satunya negara tunggal di dunia yang berjaya menangani ancaman komunis.

Menurutnya, pihaknya turut diminta mewakili Malaysia menghadiri satu persidangan bersama negara Filipina dan Colombia yang membincangkan hal ehwal keselamatan dan kaedah menangani ancaman komunis di Hawaii, Amerika Syarikat pada tahun lepas.

"Dalam persidangan itu, Malaysia diminta membentangkan kertas kerja mengenai pengalaman dan kaedah polis melalui Unit VAT 69 Komando berjaya membendung ancaman komunis.

"Permintaan itu merupakan satu pengiktirafan besar kerana Malaysia sememangnya diakui di seluruh dunia sebagai satu-satunya negara berjaya menangani ancaman komunis sehingga mereka menyerah diri pada tahun 1989.

"Jadi, saya fikir pengiktirafan dan pencapaian polis dan Unit VAT Komando tersebut membuktikan negara masih mempunyai kualiti menjaga benteng keselamatan negara di bawah kerangka Kementerian Dalam Negeri (KDN) ," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program tamat latihan Kursus Asas Taktikal Para Bebas Siri 1 2018 Unit Vat 69 Komando di Padang Terbang Terkah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang mendedahkan kekuatan benteng pertahanan negara kini adalah paling lemah di Asia Tenggara.

Mohamad berkata, keadaan itu berbeza sama sekali dengan era 70-an ketika kuasa ketenteraan Malaysia terkuat di rantau ini.

Fisol berkata, pihaknya menyifatkan komen Mohamad lebih merujuk kepada aspek ketenteraan di bawah kerangka Kementerian Pertahanan dan bukan mencakupi kesemua agensi keselamatan negara dari kementerian lain.

Menurutnya, kalau melihat tahap kemahiran terdapat pada Unit VAT 69 Komando, inisiatif insurgensi awal menangani dan membendung ancaman komunis di negara ini sebenarnya dikendalikan polis.

Menurutnya, hal itu disebabkan isu komunis merupakan sebahagian hal keselamatan domestik dan tertubuh unit skuad elit tersebut pada tahun 1969 adalah khas bagi menanganinya.

"Mungkin tidak adil saya hendak mengakui Unit VAT 69 Komando sebagai antara skuad elit terbaik di rantau ini, tetapi Malaysia merupakan satu-satunya negara diiktiraf berjaya menangani ancaman komunis dari kaca mata dunia.

"Selain itu, kejayaan Malaysia menangani insiden pencerobohan Pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 turut sepenuhnya dilakukan polis diketuai skuad elit terbabit.

"Kalau dari segi kekuatan skuad elit, saya boleh jamin Unit VAT 69 Komando adalah skuad elit teruji dan terbukti keupayaan untuk membantu melaksanakan insurgensi dalam menangani ancaman musuh negara," katanya.

Fisol berkata, lebih unik setiap anggota dalam Unit VAT 69 Komando terdiri daripada anggota polis sukarela yang mesti melalui pelbagai bentuk kursus yang amat teknikal, taktikal dan mencabar.

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya berjaya melahirkan 24 anggota baharu terlatih berbanding tahun sebelum ini hanya 18 anggota.

"Di sebalik bilangan penambahan anggota skuad elit itu, pihak kami masih memerlukan tambahan sekurang-kurangnya 80 anggota bagi memperkuatkan skuad pada masa hadapan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan segelintir pihak cuba mengiktiraf peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara walhal kumpulan sebelum ini ditentang sepenuhnya Unit VAT 69 Komando, Fisol menyifatkan usaha itu hanya bersifat politik.