KUALA LUMPUR - Ahli politik India yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, disahkan bebas daripada disenaraihitamkan memasuki Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy sebelum ini berkongsi gambar bersama Vaiko atau V Gopalasamy yang merupakan pengasas dan setiausaha agung parti politik Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK).

Melalui keterangan gambar yang dimuat naik di laman Facebook Ramasamy pada Sabtu lalu, kehadiran Vaiko di Pulau Pinang adalah sebagai undangan majlis perkahwinan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan nama Vaiko sudah dikeluarkan daripada senarai hitam.

“Pihak Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan namanya daripada senarai hitam,” katanya, semalam.

Pada Jun 2017, Vaiko telah ditahan oleh pegawai imigresen selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dilarang memasuki ke negara ini.

Berdasarkan kenyataan MDMK, Imigresen Malaysia memberitahu Vaiko bahawa namanya disenarai sebagai individu berbahaya kepada Malaysia dan mempunyai kaitan dengan LTTE seperti yang dilaporkan The Indian Express.

Dakwaan yang sama dibuat oleh portal India Republic di Twitter yang mengatakan Vaiko disoal beberapa jam mengenai hubungannya dengan LTTE.

Pada 2002, Vaiko ditahan di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Keganasan India (Pota) kerana menunjukkan sokongan kepada LTTE.

Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendesak Ramasamy menjawab dakwaan dikaitkan dengan kumpulan militan LTTE.

Menurutnya, rakyat bimbang sekiranya wujud mana-mana kumpulan terlibat dengan kumpulan pengganas di negara ini.