PELABUHAN KLANG - USNS Mercy, kapal hospital Amerika Syarikat yang berpangkalan di San Diego berlabuh untuk kali kedua di sini sebagai sebahagian daripada misi Perkongsian Pasifik 2018 (PP18).

Sepanjang lima hari berada di sini sehingga Jumaat, krew kapal akan terlibat dalam projek kejuruteraan awam, bantuan kemanusiaan dan seminar kesediaan menghadapi bencana dan penglibatan dalam program jangkauan masyarakat di Kuala Lumpur.

Kapal itu pertama kali berlabuh di Pelabuhan Kuantan  pada Ogos 2016 sebagai sebahagian  daripada PP.

Komandan Misi PP18 Kapten David Bretz berkata  PP18 merupakan latihan siap siaga bencana pelbagai hala yang terbesar di rantau Indo Pasifik yang direka bagi  membantu negara rakan kongsi serta negara tuan rumah terhadap kesediaan menghadapi bencana alam dalam Lingkaran Api  Pasifik.

“Malaysia sebagai rakan kongsi  menawarkan  pelbagai peluang  untuk kami  mengembangkan  keupayaan kami  dalam perubatan, keruruteraan awam dan kesediaan bantuan bencana ,” katanya kepada pemberita sejurus kapal itu berlabuh di Pusat Terminal Pelayaran Boustead di sini awal hari ini.

Turut hadir Penolong Ketua Staf J7 Laksamana Pertama Chan Peng Cheong, dari Markas Angkatan Bersama.

Pasukan  PP18  termasuk anggota tentera serta orang awam dari Amerika Syarikat, Kanada ,  United Kingdom, Australia, Perancis, Peru and Jepun.        

Misi  itu mengandungi lebih 800 personel dari Amerika Syarikat serta negara rakan kongsi di mana tentera dan orang awam berganding bahu dengan rakan sejawat dari negara tuan rumah agar lebih  bersedia  terhadap keperluan menangani soal kemanusiaan dan bencana.

Sementara itu, Bretz berkata sebuah lagi kapal, USNS Brunswick yang merupakan kapal pengangkut ekspedisi cepat akan tiba di Tawau Sabah pada 21 April bagi bagi tugasan kejuruteraan sivil, perubatan dan khidmat jangkauan dengan masyarakat setempat bersama Angkatan Tentera Malaysia.

Kapal USNS Mercy seberat 70,000 ton pertama kali tiba di rantau ini bagi menyalurkan bantuan apabila Tsunami melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara pada Disember 2004. - Bernama