SINGAPURA – Usia ‘vintaj’ beliau meletakkan penanda aras yang hebat bagi mana-mana pemimpin di dunia supaya  tidak memberi alasan apabila tidak memberi komitmen terhadap tugas mereka, melainkan jika sakit.

Tun Dr Mahathir Mohamad terus bertahan sehinggalah ke ‘garisan penamat’ dengan menghadiri program tanpa henti yang bermula sejak beliau tiba ke negara pulau ini pada Isnin lepas.

Perdana Menteri Malaysia itu berada di sini selama empat hari, bermula dengan lawatan rasmi dua hari dan diikuti Sidang Kemuncak Asean ke-33 serta Sidang Kemuncak berkaitan, yang berlangsung sehingga Khamis.

“Saya tak tahu bagaimana saya boleh melakukannya. Saya selalu menghadiri mesyuarat. Itu tanggungjawab saya. Jika saya boleh, saya hadir, jika saya sakit, saya tidak (hadir),” katanya di akhir Sidang Kemuncak itu di sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya seorang wartawan asing bagaimana beliau yang berusia 93 tahun boleh menghadiri beberapa siri mesyuarat di sini manakala seorang daripada pemimpin Asean perlu ‘tidur-tidur ayam’ dan terlepas beberapa mesyuarat yang ditetapkan pada Sidang Kemuncak itu.

Aturcara beliau tidak terhenti di Singapura memandangkan beliau akan berada di Papua New Guinea pada hujung minggu ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Dr Mahathir, ketua kerajaan paling tua yang menghadiri edisi ke-33 Sidang Kemuncak Asean, telah pun berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini sebelum ke Port Moresby esok. - Bernama