SYDNEY – AUSTRALIA. Undang-undang pencegahan yang ada di Malaysia merupakan senjata ampuh yang berkesan dalam memerangi keganasan selain mencegah kemungkinan berlakunya keganasan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata negara memerlukan kuasa undang-undang tertentu seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang keganasan.

“Tidak ada maknanya kita bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku. Ini model yang kita guna pakai di Malaysia dan (ia) sangat berkesan,” katanya kepada media Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2018 yang antara lain membincangkan hala tuju masa depan dan kerjasama antara Asean dan Australia.

Najib berkata walaupun adanya pasukan  polis dan pasukan keselamatan yang gigih mengesan dan memberkas pihak yang mungkin mempunyai kaitan dengan ekstremisme ganas, negara masih memerlukan undang-undang yang bersifat pencegahan.

“Ini kita telah buktikan...bila ada kuasa undang-undang yang boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang kemungkinan besar lakukan jenayah seperti keganasan, maka, tindakan itu sangat berkesan.

“Setakat  ini, Alhamdulillah,  tak ada  seorang pun yang terkorban  dalam  kejadian keganasan di Malaysia. Kita sebagai kerajaan beriltizam untuk pastikan keadaan ini akan berterusan,” kata perdana menteri.

Najib juga merupakan wakil tunggal Asean yang dijemput berucap pada majlis penutup Persidangan Pencegahan Keganasan, yang merupakan sebahagian daripada sidang kemuncak itu, bagi berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani keganasan.

Katanya beliau telah mengetengahkan model yang diguna pakai Malaysia dalam mengekang keganasan, yang setakat ini menunjukkan keberhasilan dan menjamin keselamatan negara.

“ Kita telah jadikan Malaysia selamat untuk rakyat Malaysia dan rakyat asing, dan saya katakan (begitu) sebab kita ada kuasa perundangan tertentu,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam ucapannya itu, beliau turut membangkitkan mengenai ‘medan perang baharu’ dalam media sosial bagi memastikan kemampuan negara dalam mengetengahkan kandungan yang lebih menyakinkan dan berkesan untuk mempengaruhi terutamanya golongan muda.

“Ini tentang kenapa perlu tolak ideologi Daesh dan kefahaman ekstrem dan mereka (golongan muda) hendaklah hayati apa Islam sebenar atau ‘the authentic Islam’. Usaha kita dalam aspek ini adalah ‘the new battleground’ yang perlu kita beri tumpuan lebih,” kata beliau.

Pada majlis penutupan persidangan itu, para pemimpin menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Asean dan Australia berhubung Kerjasama Antarabangsa Bagi Memerangi Keganasan.

Terdahulu, Najib dan para pemimpin Asean lain diberi sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull sempena sidang kemuncak itu.

Mereka kemudian menghadiri sesi jamuan teh Rancangan Colombo Baharu di mana semua ketua negara dan kerajaan Asean mengadakan perjumpaan dengan pelajar Australia yang melanjutkan pengajian di bawah rancangan itu.

Sebelum sidang kemuncak itu bermula, Najib mengadakan pertemuan dua hala dengan Turnbull di mana mereka berbincang mengenai pelbagai bidang termasuk ekonomi, pertahanan, keselamatan, pelancongan dan pendidikan.

Najib berkata hubungan perdagangan menunjukkan peningkatan dan berharap ia dapat diteruskan dalam pelaburan terutamanya untuk menarik pelabur Australia ke Malaysia memandangkan ketika ini, nilai pelaburan Malaysia di Australia adalah lebih banyak berbanding pelaburan Australia di Malaysia.

“Kami juga bincang isu serantau dan antarabangsa seperti situasi di Semenanjung Korea, soal Rohingya, selatan Laut China Selatan dan selatan Filipina. Juga ditekankan soal memerangi keganasan. PM Australia berharap perkara ini dapat dipertingkatkan terutama dalam aspek perkongsian risikan.

“Dalam soal Rohingya, beliau (Turnbull) turut berasa bimbang...beliau tidak melihatnya sebagai isu umat Islam atau isu kemanusiaan semata-mata.

“Kami juga senada tentang potensi kemungkinan Daesh merekrut penyokong daripada kalangan pelarian dan mereka yang ditindas. Apa yang membimbangkan sekarang adalah elemen keselamatan yang boleh menjadi ancaman pada masa depan,” kata perdana menteri. - Bernama