DUNGUN - Pengambilan pertama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bukit Besi yang dibina dengan peruntukan RM93 juta akan dimulakan Jun ini, kata Penolong Naib Canselor UiTM Prof Dr Suhaimi Abdul Talib.

Beliau berkata buat permulaan kampus UiTM ke-36 itu akan menempatkan 600 pelajar dengan memberi tumpuan kepada program sains dan teknologi selain kejuruteraan makanikal dan kimia.

"Kampus di Bukit Besi itu apabila siap keseluruhannya akan menempatkan seramai 3,000 pelajar, namun  ketika ini kita hanya mampu menempatkan antara 500 dan 600 pelajar kerana ketiadaan kemudahan tempat tinggal yang lebih selesa,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan UiTM Kampus Bukit Besi oleh Jabatan Kerja Raya di kampus itu di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis itu Pengarah JKR Terengganu Shafii Mohamad.

Suhaimi berkata fasa pertama kampus UiTM Bukit Besi yang mula dibina pada 2009 itu merangkumi asrama, medan selera melibatkan peruntukan  RM20 juta; fasa kedua pembinaan perpustakaan, bangunan pentadbiran dan infrastruktur melibatkan peruntukan RM45 juta; dan fasa ketiga bagi  menyediakan blok akademik, dewan kuliah dan makmal melibatkan peruntukan RM28 juta.

Katanya kerajaan Terengganu menyediakan tapak untuk UiTM kampus Bukit Besi seluas 400 hektar dan daripada jumlah itu sebanyak 60 hektar telah dibangunkan.

"Kita telah memohon daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk projek fasa kedua bagi membina asrama untuk menampung 3,000 pelajar yang  dijangka siap pada 2016 nanti," katanya.

Suhaimi berkata dengan pembukaan kampus baharu itu, UiTM kini mempunyai kira-kira 170,000 pelajar di 36 kampus UiTM di seluruh negara.

Katanya beberapa kampus baharu UiTM sedang dalam pembinaan bagi mencapai sasaran 200,000 pelajar antaranya Kampus Dengkil, Selangor,  yang mampu menampung 5,000 pelajar, Rembau (Negeri Sembilan), Raub (Pahang) dan Balik Pulau (Pulau Pinang) yang masing-masing mampu  menempatkan 3,000 pelajar. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf berhubung kenyataannya yang dikatakan memperlekeh penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai ‘slow learner’ atau kurang cemerlang dalam pelajaran.
  • SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan lonjakan kedudukan sebanyak 23 tangga menjadikannya sebagai universiti ke-158 terbaik Asia melalui laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018.
  • KOTA BHARU - Universiti Teknologi Mara Uitm menandatangani memorandum perjanjian antarabangsa Moa bersama tiga universiti Asean termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand dalam usaha memajukan bidang pendidikan sains sosial dan sains teknologi di sini hari ini.
  • KUALA PILAH - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dicadang supaya mewujudkan semula Fakulti Sains Sosial di kampusnya di sini supaya pembinaan kampus itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
  • SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengucapkan takziah dan bersedih di atas kejadian yang menimpa dua pelajarnya semasa mengikuti Program Ukhuwah dan Pemantapan Jati Diri di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Pahang awal hari ini.