SHAH ALAM - Tindakan individu yang membuat ugutan dengan menghantar peluru hidup dan nota berbaur ancaman kepada pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tindakan pengecut.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, tindakan itu tidak akan melemahkan semangat pegawai-pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

“Malahan, perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntikkan lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir-anasir rasuah dan salah guna kuasa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua pegawai yang menerima bungkusan mengandungi peluru hidup dan nota berbaur ugutan itu telah membuat laporan polis.

“SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan terima kasih atas tindakan pantas mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut dan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam perbuatan itu,” katanya.

Ahad lalu, ancaman itu dihantar ke peti surat rumah pegawai kanan suruhanjaya itu.

Perbuatan tersebut dipercayai berkaitan dengan beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM sejak kebelakangan ini.