SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak pernah sebahagian daripada janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya kementerian tidak terburu-buru untuk melaksanakannya meskipun didesak MCA.

“UEC tak pernah sebahagian dalam janji 100 hari PH. Memang ia terdapat dalam manifesto PH tapi saya tidak terburu-buru untuk mengiktirafnya. Yang begitu terburu-buru ialah satu-satunya wakil MCA di Parlimen.

“Sebelum ini beliau ada peluang bertahun-tahun tak terburu-buru pula tapi setelah partinya kalah beliau memaksa PH supaya melakukannya dengan terburu-buru.

“Ini keputusan besar yang tidak harus diambil secara tergopoh-gopoh. Cuma saya tak tahu siapa yang kata saya nak laksanakan hari ini,” katanya ketika siri Bicara Minda : Malaysia Baharu dan Pendidikan Negara, hari ini.

Semalam, ahli Parlimen BN, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengemukakan usul utama menggesa Maszlee memperjelaskan pengiktirafan segera ke atas pelajar UEC supaya lepasan UEC boleh memohon kemasukan ke IPTA bermula September ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata soal UEC perlu dibincangkan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan termasuk pejuang bahasa dan sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam pada itu beliau menasihatkan agar semua pihak tidak mempolitikkan isu berkaitan pendidikan.

“Saya yakin ramai pihak yang ingin mengambil kredit politik macamlah mereka mewakili itu mewakili ini. Pada saya isu pendidikan jangan dipolitikkan.

“Lebih penting manifesto PH mengenai pendidikan jangan dilihat terpisah-pisah. Kita perlu lihat komitmen pertama PH untuk mmenjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan pertama rakyat. Kita akan lakukan dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.