SHAH ALAM - Beberapa institut latihan vokasional dari China menawarkan lebih banyak biasiswa dan tempat bagi rakyat Malaysia mengikuti latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara tersebut, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Kata Maszlee, syarikat-syarikat yang bertemu dengan beliau dan perwakilan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru telah menyuarakan minat untuk membantu universiti teknikal dan politeknik Malaysia dalam menyediakan graduan untuk industri antarabangsa dan yang mencabar.

"Beberapa pihak turut menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi mengikuti latihan di China," kata beliau yang diberi penghormatan memberi ucapan pada sesi pembukaan Forum TVET China-Malaysia yang julung kali diadakan baru-baru ini. Forum itu yang berlangsung di Changsa, China telah membuka peluang bagi menerokai kerjasama dalam bidang TVET.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, semasa lawatan kerja ke China perbincangan telah diadakan dengan SANY Polytechnic College, sebuah institut yang dimiliki oleh SANY Group Company Ltd, konglomerat yang menghasilkan ‘pre-cast concrete’ menggunakan teknologi Industrial Building System (IBS) dan mengeluarkan jentera berat dalam bidang pembinaan.

Katanya, SANY telah diminta supaya mengambil pelajar-pelajar dari Malaysia untuk dilatih, dan seterusnya ditempatkan di cawangan SANY Group di seluruh dunia.

Menurut beliau, perbincangan turut diadakan dengan ZTE Education Management Ltd, Changsha Social Work College (CSWC) dan Syarikat GreenPacket.

ZTE Education Management Ltd merupakan anak syarikat ZTE Corporation yang memberi tumpuan kepada kerjasama antara universiti, sekolah vokasional dan industri.

Kata beliau, cadangan ZTE Education untuk menubuhkan China-Malaysia Institute di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) akan dipertimbangkan.

"Selain itu, ZTE Education juga bersetuju menawarkan sebanyak 300 biasiswa kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti pengajian TVET di institusi TVET China," katanya.

Dengan perkembangan pendidikan tinggi TVET di Malaysia yang seiring teknologi semasa, kata Maszlee, ZTE Education juga berhasrat untuk membantu menambah bilangan pelajar seramai 1,300 orang dari China untuk melanjutkan pelajaran di Malaysian Technical University (MTUN).

"Pengasas GreenPacket, C.C. Puan juga mahu memberi sokongan bagi menubuhkan Pusat Teknologi Kepintaran Buatan (AI) dan Big Data Analytics di politeknik di Malaysia," kata Maszlee.

Maszlee yakin perkembangan itu menandakan bab baharu dalam TVET di Malaysia pada tahun-tahun akan datang di mana Kementerian Pendidikan sedang mengambil usaha untuk memperkasakan sektor TVET.