TASEK GELUGOR - Tidak ada rasional dan manfaat sekiranya kerajaan menandatangani ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini, demikian tegas Umno Bahagian Tasek Gelugor.

Isu berkaitan ICERD ini bukan isu pokok yang perlu ditimbulkan sebaliknya berkaitan soal janji manifesto yang gagal ditunaikan harus diberikan perhatian oleh kerajaan.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata tidak ada rasionalnya pelaksanaan ICERD di negara ini.

"Malaysia mempunyai perlembagaan yang dihormati dan diakui oleh semua kaum di negara ini, sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, tidak ada satu kaum yang dipinggirkan, semua mendapat peluang masing-masing dan menikmati hidup dengan harmoni antara satu sama lain.

"Tiba-tiba isu berkaitan ratifikasi ICERD timbul dan beri kesan besar kepada Melayu serta Bumiputera di negara ini, hak-hak orang Melayu akan terhakis, kuasa raja-raja Melayu juga akan tergugat. Bagi saya, ia satu perbuatan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam program Teras Jiwa Umno Bahagian Tasek Gelugor di Pantai Robina semalam.

Katanya, isu ICERD sengaja ditimbulkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik semata-mata.

"Bagi saya pihak yang menimbulkan isu ini tidak memikirkan rakyat, sebaliknya mereka mempunyai kepentingan dan agenda sendiri yang mana ia langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat.

"Jika mereka cakna, mereka akan ambil peduli akan bantahan rakyat terhadap ICERD namun apa yang dikecewakan, tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan yang mana kenyataan itu mengambil kira pandangan rakyat, cuma pandangan peribadi semata-mata, ini yang kita amat kecewa," katanya.

Menurutnya, hubungan mesra antara semua kaum di negara ini seolah dicemburui oleh pihak yang mahu meratifikasi ICERD di negara ini.

"Selama ini kita hidup dalam suasana mesra saling hormat menghormati antara satu sama lain, kita bersama dan saling bantu membantu antara satu sama lain, tiba-tiba bila jadi macam ini, ia menimbulkan keraguan dalam diri rakyat.

"Umno Tasek Gelugor sememangnya menentang sekeras-kerasnya berkaitan soal ICERD ini dan saya tegaskan ia sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat kepada mana-mana pihak sekalipun," katanya.

Tambahnya, sepatutnya pihak berkaitan mengutamakan dahulu janji-janji manifesto yang disifatkan gagal ditunaikan sepenuhnya.

"Sejak pilihan raya, rakyat tidak mendapat sebarang manfaat, janji-janji manifesto sebahagian besar masih belum dilaksanakan, dan dalam bajet yang dibentang, bukan bertambah malah banyak yang dipotong.

"Soal inilah harus diperhalusi dan dilihat dengan sedalamnya, bukannya menanam kebencian di kalangan rakyat melalui ICERD. Jangan main-mainkan perasaan rakyat, ambil peduli nasib rakyat itulah yang lebih penting," katanya.