KUALA LUMPUR - Kontrak yang melibatkan projek antara Malaysia dan China akan menjadi agenda utama perbincangan semasa lawatan ke Beijing pada bulan depan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kunjungan saya itu, pada dasarnya adalah susulan kepada lawatan yang dibuat oleh Tun Daim Zainuddin.

“Beliau telah membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan kontrak yang telah diberikan dan hakikat bahawa Malaysia tidak mampu membiayainya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu, hari ini.

Dilaporkan bahawa Tun Daim, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)  berada di China dalam usaha untuk merundingkan semula pinjaman dan kontrak yang dimeterai kerajaan sebelum ini dengan syarikat-syarikat China.

Semalam, Dr Mahathir berkata Tun Daim sedang berusaha merundingkan semula perjanjian yang menelan kos yang mahal dan sebahagian daripada wang itu bukan benar-benar diperlukan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak mampu untuk meminjam terlalu banyak wang.

“Kita sedang berusaha untuk mengurangkan pinjaman wang, jika tidak negara akan muflis,” katanya.

Perdana Menteri berkata, semasa lawatannya beliau akan mempelawa syarikat China untuk datang dan melabur di Malaysia.

“Labur dalam kapasiti produktif di negara ini menggunakan buruh dan sumber Malaysia,” katanya. - Bernama