KUALA NERANG - Pas tidak mungkin dapat melaksanakan hukum Hudud kerana parti itu tidak akan mampu menguasai majoriti kerusi Parlimen untuk meminda perlembagaan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
    
Beliau berkata bagi meminda perlembagaan, Pas perlu memperoleh sokongan dua pertiga kerusi Parlimen dan ia pasti tidak akan tercapai kerana parti itu hanya bertanding 70 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi.
    
"DAP dan PKR tidak aakn sokong, mereka (Pas) tidak akan mendapat dua pertiga majoriti tetapi rakyat tidak memahaminya.
    
"Untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud, ini semua temberang, cakap bohong. Orang yang menipu, suka berbohong tak boleh jadi kerajaan," katanya kepada pemberita pada Program Himpunan Rakyat Padang Terap Bersama Calon Barisan Nasional di Padang Awam Padang Terap, di sini hari ini.
    
Beliau berkata pakatan pembangkang juga tidak layak mentadbir negara kerana pemimpin-pemimpin mereka sering bercanggah pendapat.
   
"Kalau kita tengok Datuk Seri Najib (Tun Razak) cakap semua sokong, Cina, Melayu, India, Iban dan Kadazan. Tapi bila satu pihak mereka (pembangkang) kata sesuatu benda, yang lain semua bantah.
    
"Mereka bertanding, PKR lawan PAS, mana boleh ada kerjasama, kalau tak dak kerjasama macam mana nak bentuk kerajaan bersekutu?," kata Mahathir.
    
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan insiden letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) di pekarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal Selasa lalu sebagai bukan budaya orang Malaysia.
    
Mahathir berkata budaya itu mungkin ditiru dari negara yang kerajaannya bersifat kuku besi dan perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku di sini kerana Malaysia ada pilihan raya umum setiap lima tahun.
    
"Dia tak tau nak jawab apa yang kita kata, dia guna kekerasan, cuba nak bunuh orang, orang Malaysia tak bunuh orang, ini budaya orang luar," katanya merujuk kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perkara itu.
    
Dalam kejadian pada 10.15 malam itu seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan akibat terkena bahan letupan yang diletakkan pada jarak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang pentas ucapan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Meskipun Pas kini sudah bergerak solo, namun kekuatannya tidak boleh dipandang rendah kerana parti itu mempunyai pengaruh tersendiri.
  • BACHOK - Umno Kelantan tidak pernah berbalah dengan Pas sejak dari dahulu lagi dan sentiasa memegang asas untuk berbuat baik kepada semua orang.
  • PASIR MAS - Tindakan Pakatan Harapan (Harapan) meletakkan PKR untuk bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas bukan satu ancaman besar dalam usaha Pas mempertahankan kawasan yang sudah sebati dengan parti itu.
  • ALOR SETAR - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan pelbagai bentuk tawaran kepada penduduk Langkawi membuktikan kedudukan politik BN terancam dan terdesak menjelang PRU14.
  • RANTAU PANJANG - Umno Rantau Panjang menggambarkan penerimaan penduduk terhadap Barisan Nasional semakin meningkat.