ARAU - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Majlis Santapan Negeri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-75 yang diadakan di Istana Arau malam ini.

Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Istana Arau kira-kira 8.40 malam, dan kemudian menghadap Tuanku Syed Sirajuddin serta Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Bilik Biru di istana.

Pertemuan Perdana Menteri secara tertutup selama hampir 30 minit itu turut dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sejurus selesai pertemuan itu, Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis diiringi Dr Mahathir bersama isteri ke Dewan Bankuasi untuk Majlis Santapan Negeri.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man bersama barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Kesemua 34 penerima yang dikurniakan Anugerah Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin hari ini turut menghadiri majlis santapan itu. -Bernama