KUALA LUMPUR - Pengajian Islam di negara ini tidak harus ditumpukan kepada bidang fiqah semata-mata sebaliknya diperluaskan ke pelbagai bidang lain termasuk sains dan ekonomi, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata Al-Quran, yang merupakan sumber utama pengajian Islam, mempunyai pelbagai cabang ilmu terkandung di dalamnya.

"Pengkelasan pengajian Islam sebagai bidang bukan sains menimbulkan tanggapan bahawa ahli sains atau pakar bidang tertentu bukan agamawan atau ulama. Ini bertentangan dengan cendekiawan Islam masa dahulu.

"Pengkelasan ini perlu diperbetulkan pada peringkat dasar dan pelaksanaan khasnya dalam sistem pelajaran dan pengajian tinggi negara supaya kekangan kefahaman menjurus kepada pertentangan ilmu aqli dan naqli dapat diatasi pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pencapaian Umat Islam Pasca-Merdeka : Pengajaran dan Langkah Ke Hadapan dan Pra-Pelancaran Sambutan 20 Tahun Penubuhan IKIM  di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan. Seminar dua hari itu dihadiri kira-kira 300 peserta.

Pada sidang media kemudian, Abdullah berkata beliau menyokong cadangan mewujudkan satu garis panduan mengenai interaksi antara agama bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini.

"Garis panduan ini perlu, dengan adanya garis panduan ini kita mampu mempunyai hubungan baik sesama kaum berlainan agama. Seperti Islam Hadhari yang saya laksanakan tidak bercanggah dan difahami baik semua agama di negara ini," katanya.

Khamis lepas, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata PUM mengesyorkan kerajaan menggubal garis panduan interaksi orang Islam dan bukan Islam di Malaysia ekoran keadaan semasa yang semakin kompleks dengan isu-isu semasa berkaitan hubungan orang Islam dan bukan Islam.

Mengulas mengenai isu makanan halal di negara ini, Abdullah berkata penerangan mengenai penyediaan makanan halal di negara ini harus diperkasakan.

"Apa yang penting jangan kita utamakan untuk menghukum mereka yang terlibat dalam isu makanan tidak halal ini...ramai yang terlibat kerana mereka kurang faham, jangan hukum mereka, didik mereka," katanya.

Berkenaan sambutan 20 tahun penubuhan IKIM , beliau berkata IKIM  perlu menghimpun lebih ramai cendekiawan Islam untuk berbincang bagi memajukan lagi umat Islam negara untuk tempoh 20 tahun akan datang.- Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.