UMURNYA sudah menjangkau 67 tahun namun semangat dan cintanya kepada dunia sukarelawan tidak pernah padam malah semakin bersemangat untuk membantu orang yang dalam kesusahan.

Ong Sooi Sheng sentiasa bersedia untuk mengemudi Bomba Sukarela Sungai Korok, Ayer Hitam, Kedah yang dianggotai 18 ahli.

Pasukannya juga memenuhi undangan setempat bagi aktiviti orang ramai seperti mencuci masjid, pancuran air majlis berkhatan beramai-ramai, tebang pokok, menjaga laluan trafik jika berlaku kemalangan dan tugas sukarelawan lain.

“Macam-macam tugas yang kami buat untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Jitra dan bukan sekadar kepada rutin utama iaitu memadam kebakaran sahaja.

"Kerja sukarela ini telah mengeratkan hubungan di antara anggota tidak kira kaum malah kami umpama keluarga besar yang bersatu atas niat ikhlas untuk membantu tanpa mengharapkan ganjaran,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan latihan di Gunung Keriang, baru-baru ini.

Sooi Sheng berkata, pasukannya terdiri daripada 10 anggota Melayu dan selebihnya dari kaum Cina.

Menurutnya, bukan mudah untuk menggerakkan sesebuah pasukan tanpa dana yang mencukupi namun pihaknya bersyukur kerana masih mendapat perhatian pelbagai pihak seperti wakil rakyat dan masyarakat setempat.

“Sikap tolong-menolong ini menjadi tunjang kekuatan pasukan kami dan semua ahli memahami akan kekangan kewangan yang dihadapi sebagai sebuah unit sukarelawan.

"Mereka sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk minyak kenderaan masing-masing apabila datang latihan mahupun ketika unit dikerahkan untuk tugasan memadamkan kebakaran,” katanya.

Menurutnya, tugas bomba sukarela secara tidak langsung dapat berjumpa dengan semua lapisan masyarakat tidak kira kaum, agama dan umur.

Sementara itu, seorang anggota bomba sukarela, Radzuan Nooryaziz, 31, ketua unitnya adalah seorang yang rapat dengan anggota.

Jelasnya, Sooi Sheng tidak membezakan warna kulit dan agama malah mereka sering berjumpa di luar bertukar-tukar pendapat selepas tamat tugasan.

“Senang kata, kami saling memahami di antara satu sama lain kerana sudah lama bekerja di bawah satu unit sejak ia ditubuhkan pada 7 April 2013.

"Masing-masing sudah faham kerana tugas sukarelawan ini juga mengajar kami untuk ikhlas di antara satu sama lain selain amanah di dalam kerja,” katanya.

Bagi anggota paling muda, Mohd Shukri Ali, 28 pula, tugas sebagai bomba sukarela telah membuka mata generasi muda sepertinya bahawa kerja yang tidak dibayar elaun itu mempunyai sisi positif tersendiri iaitu memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, kerja sukarelawan ini terbuka pada semua dan beliau sendiri menggalakkan generasi muda untuk menyertainya.

“Pada setiap bulan kami akan adakan jamuan di pusat kami di Pekan Sungai Korok Ayer Hitam, Jitra untuk mengeratkan hubungan di antara satu sama lain dan perkara-perkara seperti ini yang menjadikan kami umpama sebuah keluarga yang besar,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DILAHIRKAN dalam keluarga Tiong Hua namun pasangan suami isteri Ng Chang Poo, 52, dan Choy Pooi Yee, 46, mempunyai latar belakang persekitaran yang berbeza.
  • KEBOLEHANNYA bertutur dalam bahasa Mandarin membuatkan dirinya dikenali dan disenangi ramai kalangan masyarakat Cina setempat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.