KUALA LUMPUR - Tuduhan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak menunjukkan bahawa pihak berkuasa  sedang dalam cubaan terdesak berkaitan dengan 1MDB  untuk memenuhi manifesto kerajaan sekarang pimpinan Pakatan Harapan (PH), dakwa peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Shafee tuduhan itu juga tidak cukup kuat dan mampu untuk menghukum pelanggannya kerana beliau telah mengembalikan 90 peratus daripada dana yang diterimanya kepada  akaun penderma.  

"Saya agak terkejut dan pada masa yang sama gembira dengan  jenis tuduhan yang mereka kemukakan kerana ia adalah tuduhan yang terdesak.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa terdesak, hanya untuk membawa pertuduhan yang berkaitan dengan 1MDB (ke mahkamah) supaya mereka boleh menunaikan  kewajipan mereka terhadap manifesto pilihan raya PH," katanya semasa sidang akhbar selepas Najib didakwa di mahkamah.

Beliau berkata Najib telah mengembalikan sejumlah US$651 juta pada bulan Jun, Julai dan Ogos 2013 kepada Arab Saudi, selepas pilihan raya umum (PRU13) berakhir kerana dia telah selesai dengan perbelanjaan yang berkaitan dengan kempen politik.

Ditanya mengenai buku yang berjudul "Billion Dollar Whale" yang ditulis oleh Tom Wright dan Bradley Hope yang mendakwa bahawa Najib telah diperdayakan oleh ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau Jho Low, peguam itu menjawab "Jika buku itu boleh dijadikan bukti, sangat menarik ".

“"Buku itu mungkin mengesahkan bahawa  ahli perniagaan Jho Low sebenarnya memperdayakan rakyat seperti Najib sebagai mangsa," katanya. - Bernama