SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh menggesa supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, di negara ini.

Menurutnya, penubuhan RCI dilihat mampu merungkai motif pembunuhan tersebut sekali gus dapat mengesan individu yang bertanggungjawab memberi arahan terhadap pembunuhan tersebut.

“Individu yang didapati bersekongkol dalam pembunuhan itu mesti diheret ke muka pengadilan, tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan tawar menawar oleh Sirul Azhar Umar tidak sepatutnya berlaku apatah lagi  kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

“Saya berpendapat bahawa jika disabit kesalahan Sirul boleh dipenjara seumur hidup. Jadi, Sirul akan dihantar pulang ke Malaysia dari Australia. Selepas itu, Sirul akan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya.

“Selepas itu dia perlu bekerjasama dalam siasatan jika perlu atau perlu tampil sebagai saksi bagi mendedahkan individu yang mengarahkan pembunuhan Altantuya,” katanya.

Jelasnya, kerajaan Australia tidak akan mengekstradisi Sirul sekiranya permohonan untuk berbuat demikian dibuat memandangkan dasarnya yang menentang pelaksanaan hukuman mati.

“Sirul mungkin dijatuhi hukuman mati apabila kembali ke Malaysia.

“Jika hukuman mati ditukar kepada penjara seumur hidup, kerajaan Australia pasti akan mengusirnya ke Malaysia untuk menjalani hukuman di sini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap supaya penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dipanggil untuk menjadi saksi yang berpotensi dalam kes pembunuhan Altantuya.