LANGKAWI - Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyediakan laporan berhubung seekor gajah yang didakwa telah didera untuk tujuan aktiviti pelancongan di sini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Azimuddin Bahari dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan laporan berkenaan.

"Selepas itu kami akan menilai dan membuat keputusan yang terbaik bagi kepentingan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas melawat operasi Langkawi Elephant Adventure (LEA) di Oriental Village di sini hari ini.

Menurutnya kementerian itu telah menerima aduan dari beberapa badan bukan kerajaan (NGO)  dari dalam dan luar negara yang mendakwa gajah yang dinamakan Lasah berumur 36 tahun itu telah dirantai untuk tempoh yang lama dan dalam keadaan uzur.

NGO ini turut menjalankan petisyen untuk meminta kerajaan memindahkan gajah berkenaan ke Pusat Perlindungan di Kuala Gandah, Pahang.

Wan Junaidi berkata, sebelum ini Perhilitan telah mengemukakan laporan kepadanya dengan menyatakan LEA menjalankan operasi mereka berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh jabatan itu.

"Oleh kerana banyak pihak seperti Wildlife NGOs yang berjumpa dengan saya, maka saya tidak dapat menafikan perasaan mereka dan datang (untuk meninjau sendiri operasi LEA)," katanya.

Beliau juga meminta pakar zoologi dari LEA untuk memberikan input mereka bagi membantu jawatankuasa itu dalam menyiapkan laporan berkenaan.

"Pakar mereka (LEA) mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dan mengetahui amalan terbaik dalam penjagaan gajah ini," katanya.

Sementara menunggu penyiapan laporan itu, beliau berkata LEA masih lagi dibenarkan untuk meneruskan operasi mereka. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Ibu bapa yang terlibat dengan kes penderaan kanak-kanak mungkin diwajibkan menjalani sesi kaunseling dan kursus keibubapaan selepas mereka menjalani hukuman mahkamah sekiranya disabit kesalahan.
  • KUALA LUMPUR - Anggaran populasi gajah liar di Semenanjung Malaysia kini adalah sebanyak 1,220 hingga 1,450 ekor, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  • TAPAH - Dua beradik yang disyaki didera ibu jagaan mereka akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping kelak.
  • KUALA LUMPUR - Mangsa keganasan rumah tangga terus mendapat pembelaan kerajaan apabila mereka kini boleh mendapatkan perintah perlindungan walaupun pada hujung minggu, selepas Rang Undang-undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 diluluskan Dewan Rakyat hari ini.
  • KUCHING - Ahli keluarga seorang kanak-kanak lelaki dari Felda Tenang, Hulu Besut, Terengganu yang meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya turut berdepan tindakan jika didapati ada unsur pengabaian dalam kes tersebut.