• Bot karam Bot ekspres yang karam di Sungai Rajang, Sarawak.
1 /

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan bot ekspres, yang merupakan pengangkutan popular di Sarawak, menyaksikan satu lagi kemalangan hari ini selepas insiden terdahulu pada 18 Okt 2010 yang meragut 13 nyawa.
    
Berikutan insiden itu, imej mendiang Jennifer Yak kembali menjelma.
    
Mangsa berusia 10 bulan apabila pihak berkuasa menemui mayatnya terapung di dalam sungai dan dia merupakan antara 13 mangsa yang terkorban apabila sebuah bot ekspres bertembung dengan bot tunda di selekoh sungai Anap Tatau, Kuching.
    
Hari ini beberapa penumpang masih hilang manakala yang lain berjaya berenang menyelamatkan diri apabila bot yang sarat dinaiki 100 penumpang untuk pulang menyambut Hari Gawai hujung minggu ini, karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan menghilir sungai dari Sibu.
    
Kemalangan itu berlaku antara 8.30 pagi dan 9 pagi apabila bot dengan kapasiti 67 penumpang itu, terhempas ke batu di kawasan itu.
    
Memandangkan terdapat banyak sungai di 124,000 kilometer persegi yang membentuk negeri Sarawak, bot ekspres adalah pengangkutan murah yang popular di lembangan Rajang yang juga berfungsi untuk mengangkut balak.
    
Difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 25 bot ekspres berulang-alik di sungai Rajang setiap hari.
    
Sungai itu yang berasal dari banjaran Iran, mengalir ke bahagian barat daya kira-kira 563km ke Kapit, dan kemudian ke Laut China Selatan, menjadikan ia sungai terpanjang di Malaysia.
    
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye ketika diminta mengulas mengenai insiden itu memberitahu Bernama pengendali bot harus memastikan jumlah penumpang tidak melebihi kapasiti bot.
    
"Pengendali bot juga harus menyediakan jaket keselamatan dan pelampung sebagai langkah keselamatan di dalam bot untuk penumpang," katanya.    

Beliau juga menasihati pengusaha bot agar sentiasa memeriksa keadaan bot mereka. - Bernama