SHAH ALAM - Hisbah mendesak jawatankuasa kerajaan mengenai keutuhan kewangan negara segera memulakan sisatan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, desakan ini didasari kepada laporan mengenai lawatan beliau ke Sarawak bersama calon yang bertanding bagi pemilihan PKR.

Katanya, apa yang lebih tidak beretika adalah apabila Wan Azizah turut mengumumkan memberikan peruntukan kerajaan sebanyak RM100 ribu untuk satu kawasan khusus yang terlibat didalam pemilihan dihadapan pengundi-pengundi dan calon yang bertanding.

"Hisbah amat terkejut dan amat kesal mendapat laporan mengenai lawatan  Wan Azizah Ismail di Sarawak semalam.

"Daripada laporan yang diterima daripada media dan sumber lain jelas TPM telah melakukan perlanggaran etika kewangan negara yang amat ketara (blatant)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Hisbah sedia maklum PKR sedang menghadapi pemilihan partinya dan TPM yang juga presiden parti mempunyai kecederungan menyokong salah satu kem didalam pemilihan ini.

"Namun keghairahan berkempen tidak boleh sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran dari sudut etika pengurusan kewangan negara.

"Menggunakan dana negara sebagai satu bentuk umpan menarik sokongan politik terhadap seseorang calon atau kumpulan calon didalam sesebuah parti adalah satu kesalahan serius dan salahguna kuasa," katanya.

Sebelum ini, lawatan Wan Azizah , ke Julau, Sawawak semalam mencetuskan pertikaian dalam kalangan kepemimpinan parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya, berkata lawatan berkenaan, biarpun atas kapasiti Wan Azizah sebagai TPM, adalah tidak kena pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan terakhir parti itu di negeri ini.

Malah, katanya, pemilihan yang bakal berlangsung di Julau antara yang hangat diperkatakan ketika ini susulan kontroversi membabitkan isu keahlian di cabang berkenaan.

Latheefa juga mendakwa Wan Azizah telah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan aset kerajaan selain mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk pembinaan jalan raya di daerah berkenaan.

Mengulas kritikan itu, Azizah Wan berkata, beliau menafikan dakwaan bahawa kedatangannya ke Julau, Sarawak,  disebabkan berkempen untuk Pemilihan PKR.

Katanya, lawatannya ke daerah itu adalah atas urusan rasmi kerajaan di bawah tanggungjawabnya sebagai TPM.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam berkata , kerajaan baru ini tidak boleh dibenarkan sama sekali melakukan kesalahan yang sama pernah dilakukan kerajaan rasuah terdahulu dengan menggunakan harta negara sewenang-wenangnya dan melanggar prinsip amanah terhadap khazanah milik negara dan rakyat.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Hisbah dakwa ada bukti politik wang dalam pemilihan PKR ]