SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua sebelum ini pernah berkata pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menurunkan harga barang.

Katanya, apa yang menghairankan adalah wujud perbezaan antara kenyataan Lim Guan Eng dengan Pua.

"Hebat juga strategi komunikasi mereka, lain orang lain cerita. Apa cerita sekarang?

"Guan Eng berani pula tanya sejak bila beliau kata SST akan turunkan harga barangan. Dia siap cabar untuk tunjukkan bukti. Sama macam tersalah titik perpuluhan, saya rasa mungkin Kementerian Kewangan keliru mengenai SST ini," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Guan Eng mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa tiada jaminan harga barang akan turun selepas pelaksanaan SST.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tunjuk bukti saya cakap SST akan turunkan harga barang]

Mengulas lanjut, Najib mendakwa, rakyat kini berada dalam keadaan susah kerana pelaksanaan SST.

"Cuba kita tanya diri, dapatkah kita merasai manfaat penggantian GST (cukai barang dan perkhidmatan) dengan SST?

"Kos sara hidup semakin menekan kehidupan rakyat. Kerajaan tidak cukup hasil kutipan untuk membantu rakyat hari ini dan saya risau apa lagi cukai akan diperkenalkan.

Tambahnya, dalam hal tersebut, rakyat terbeban tetapi pemimpin PH begitu selesa di pejabat mereka.

"Ke hulu ke hilir dan menikmati pelbagai kemudahan. Melupakan rakyat sebagaimana manifesto mereka," katanya.