KUALA LUMPUR - [Video] Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini menangkis tanggapan negatif segelintir rakyat Malaysia yang menganggapnya tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan.

Tommy memulakan ucapannya dengan ungkapan salam sejahtera dan selamat tengah hari disambut tepukan gemuruh hadirin yang menghadiri majlis Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa) di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya, hari ini.

Dalam video berdurasi 3.51 minit yang dikongsi seorang pengguna Facebook, Shamsul Sulaiman membuktikan Peguam Negara yang dikritik tidak fasih berbahasa Melayu itu tidak benar sama sekali.

Meskipun Tommy membaca teks ucapan namun, beliau tetap berusaha untuk berucap dalam bahasa Melayu dan boleh dikatakan tahap penguasaanya baik.

Sebelum ini, sejak dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 jun lalu, Tommy sering dikritik kerana didkawa tidak fasih berbahasa Melayu.

Paling ketara ialah semasa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di hadapkan ke mahkamah minggu lalu, penyokongnya menganggu sidang akhbar Tommy dengan menjeritkan "Melayu, Melayu" berulang-ulang kali.

Hal ini tercetus apabila beliau yang mengetuai pasukan pendakwaan, meminta bacaan prosiding di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeris

Kemudian, penyokong-penyokong Najib berteriak mendesak Tommy selaku Peguam Negara perlu bercakap dalam bahasa Melayu.

Susulan kritikan itu, bekas peguam terkemuka itu berjanji akan memperbaiki kelemahan berbahasa Melayu.

“Masalahnya dengan amalan swasta yang saya lalui selama 42 tahun, berurusan dengan anak guam, pada dasarnya klien komersial dan dokumen…saya mengabaikan bahasa (Melayu) saya. Saya berjanji akan memperbaikinya,” katanya sebelum ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tommy dengan isu bahasa Melayu]

Bagaimanapun, kelihatan tiada rekod beliau bercakap dalam bahasa Melayu di depan umum sehinggalah hari ini.

*** Tommy ketika berucap di majlis Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa) di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya, hari ini. - Sumber video daripada Facebook Shamsul Sulaiman