GEORGETOWN - Penjawat awam diingatkan supaya sentiasa mempertahankan nama baik perkhidmatan dan teguh dengan prinsip menolak rasuah serta tegas  menentang perbuatan salah guna kuasa yang boleh mengakibatkan ketirisan hasil negeri.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas berharap penjawat awam lebih berani untuk melaporkan usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merasuah penjawat awam di negeri ini.

"Contohilah Nabi Sulaiman yang tidak tergugat dengan sogokan kebendaan sebagai inspirasi dalam melaksanakan tugas. Baginda secara tegas menolak hadiah yang dipersembahkan oleh Raja Perempuan negeri Saba," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Kata Abd Rahman, beliau menyokong usaha kerajaan negeri Pulau Pinang memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam dengan mengambil tindakan tegas termasuk pembuangan kerja bagi mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata ketetapan bahawa Islam adalah agama rasmi perlu dihormati oleh semua pihak.

"Islam adalah agama yang berlandaskan ilmu dan untuk itu Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu dengan memberikan keseimbangan antara ilmu agama bagi memenuhi tuntutan fardu ain dengan tuntutan ilmu duniawi bagi memenuhi fardu kifayah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al Ghazali," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pengiktirafan Malaysia Book of Records yang diterima oleh Bukit Bendera bagi funikular tunggal di Malaysia dan trek funikular terpanjang di Asia merupakan kejayaan besar dalam sektor pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, jumlah pengunjung Bukit Bendera juga mencatatkan peningkatan dengan 1.6 juta orang pada tahun lalu berbanding 1.57 juta orang pada 2015.

"Dalam hal ini, cadangan pewartaan Bukit Bendera sebagai 'UNESCO Biosphere Reserve' adalah bertepatan dengan usaha memulihara kawasan Bukit Bendera sebagai satu daripada warisan utama Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, kajian serta pengemaskinian maklumat berkenaan 2,557 bangunan dan 1,637 premis di kawasan penampan tapak warisan serta proses membaik pulih 220 set pelan bangunan lama berjalan lancar. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.