KANGAR -  Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menolak cadangan penanaman ketum dilakukan secara terbuka demi mencegah masalah penagihan.

Azlan berkata, penanaman ketum perlu dilakukan secara terkawal, dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini terutamanya golongan muda sehingga pelajar sekolah menagih ketum.

"Ramai dalam kalangan penduduk Perlis terutama mereka dalam golongan muda, malah sampai ke peringkat pelajar sekolah sekalipun menagih ketum ini.

"Jadi itu, sebabnya kita harus menangani isu ini dahulu. Jikalau kata nak buat penanaman ketum ini kena buat secara terkawal la," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih 2018 di Hotel Putra Regency, Kangar, hari ini.

Katanya, penanaman ketum tidak boleh dibiarkan dilakukan secara bebas sebab tiada kawalan.

Dalam perkembangan lain, katanya, beliau berpandangan ujian saringan air kencing secara mengejut adalah relevan jika dilakukan di sekolah-sekolah.

Katanya, tindakan berkenaan perlu diambil dalam usaha pihak berkuasa mengesan awal mana-mana pelajar yang terlibat dalam kancah penagihan.

Sebelum ini, Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan harus mencontohi beberapa negara jiran termasuk Thailand yang meluluskan ketum dan ganja.

Katanya, penduduk Utara tanah air berupaya menjana pendapatan lumayan sekiranya penanaman ketum secara terbuka di negeri berkenaan dibenarkan kerajaan.

Terdahulu, seramai 47 pesara terdiri dari ketua-ketua jabatan bagi seluruh Perlis diraikan dalam majlis tersebut.