KUALA LUMPUR - Kutipan tol secara elektronik (ETC) akan dilaksanakan sepenuhnya melibatkan lapan buah tol di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), bermula 12 tengah hari, 9 Nov depan.

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pelaksanaan ETC itu memerlukan pengguna membayar tol menggunakan kad Touch 'n Go dan SmartTAG.

Plaza tol LDP melibatkan Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya, Plaza Tol Puchong Barat dan Plaza Tol Puchong Selatan manakala di SDE melibatkan Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan Plaza Tol Penawar.

"Untuk melancarkan operasi tol di kesemua plaza tol berkenaan, pihak konsesi lebuh raya akan memastikan kemudahan Lorong Tambah Nilai dan penjualan kad Touch 'n Go di lorong beroperasi 24 jam.

"Kakitangan juga akan ditempatkan di lorong bagi membantu masalah yang dialami pengguna," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, pelaksanaan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan pembayaran tol.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan ETC boleh menghubungi Jabatan Komunikasi Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd, Litrak (syarikat pengendali LDP) di talian 03-74947012 dan SDE, 07-8612222.

Pengguna turut dinasihatkan mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui kesemua plaza berkenaan tol bagi melancarkan perjalanan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :