SEREMBAN - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan akan menyertai Perhimpunan Aman Penyatuan Ummah 2018 yang akan diadakan dekat Dataran Merdeka Kuala Lumpur esok.

Beliau turut menasihatkan kepada semua peserta agar menjaga tertib dan patuh kepada peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

"Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, jadi semua yang hadir esok perlu menjaga disiplin masing-masing dengan baik, ikut segala arahan yang ditetapkan, pasukan polis akan ada di situ untuk mengawal keselamatan, jadi jaga tertib dengan baik, jangan langgar undang-undang.

"Esok adalah hari kita ke Perhimpunan Aman Penyatuan Ummah, marilah kita semua hadir bersolidariti bersama demi agama, bangsa dan tanahair," katanya selepas merasmikan Majlis Berselawat Pergerakan Wanita Umno peringkat Negeri Sembilan di Wisma Umno Negeri tadi.

Tambahnya, perhimpunan ini adalah sebagai tempat untuk rakyat meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan, sekali gus mahu memastikan Perlembagaan negara tidak diganggu gugat dengan sewenang-wenangnya.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi ICERD.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 petang hingga 6 petang.