SHAH ALAM - Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai hala tuju negara 30 tahun akan datang tidak lebih daripada gimik PRU14, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Faiz Fadzil .

Beliau berkata, seharusnya negara ini mampu berdiri sama tinggi dengan Singapura setelah hampir 60 tahun negara merdeka.

Bagaimanapun hala tuju negara yang digagaskan sebelum ini seperti Wawasan 2020 didakwa gagal kerana dicemari dengan korupsi dan penyelewengan.

Ujarnya lagi, TN50 juga akan menemui kegagalan jika intipati utama sesuatu kejayaan iaitu integriti tidak dijadikan asas reformasi dan transformasi.

"TN50 tidak akan tercapai jika sistem dan pentadbiran negara hari ini tidak mengalami proses transformasi dan pemulihan secara total dan jujur.

[ARTIKEL BERKAITAN: TN50: Rakyat Malaysia luar negara patut beri pandangan]

"'Institutional Reform' yang melibatkan insititusi undang-undang, Parlimen dan GLC adalah langkah awal ke arah transformasi negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, jurang ekonomi rakyat yang semakin melebar dengan beban hutang isi rumah yang tinggi serta kehidupan rakyat yang semakin susah akibat bebanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan kos sara hidup boleh membawa negara ke arah kegagalan.

"Generasi muda paling terkesan dan bagaimana generasi muda akan menikmati transformasi yang diwarwarkan jika mereka mewarisi hutang, korupsi dan kehancuran sebuah negara yang merdeka," katanya lagi.

Justeru beliau berpandangan gagasan Selamatkan Malaysia (SM17) melalui pembentukan kerajaan baru adalah gagasan yang paling relevan dan paling utama untuk diperjuangkan oleh rakyat terutama generasi muda dengan menjadikan prinsip integriti sebagai teras transformasi.

"PRU14 adalah medan paling berkesan untuk Selamatkan Malaysia agar transformasi yang menitikberatkan 3 'pillars' utama iaitu mementingkan kebajikan rakyat, memperkasakan keadilan dan kebebasan serta memupuk nilai murni dan kebaikan dapat dilaksanakan.

"Pembinaan negara Malaysia tercinta ini yang maju dan makmur hendaklah diperjuang dan digalas bersama dan dikongsi serta dinikmati bersama oleh setiap rakyat melangkaui sempadan bangsa dan agama, ideologi politik, jantina dan latar belakang pendidikan." katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menambah insentif untuk penjenteraan, automasi dan perobotan di bawah dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
  • KUALA LUMPUR - Setelah beberapa siri dialog diadakan untuk mengumpul pandangan bagi merealisasikan Transformasi Nasional 2050, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempelawa rakyat Malaysia berkongsi aspirasi dari aspek keagamaan dan kerohanian.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.