KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) mengulangi sokongannya terhadap aspirasi kerajaan berhubung perkhidmatan jalur lebar yang lebih murah dengan kadar lebih pantas bagi meningkatkan daya saing negara.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat utiliti itu berkata, pihaknya sudah terbabit dalam beberapa sesi dialog yang berterusan  dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengulangi sokongannya.

Sewaktu pertemuan itu, TM juga mengulangi cadangan inisiatifnya untuk melaksanakan perkara yang sama.

“Maklumat lanjut mengenai inisiatif itu akan diumumkan TM dalam tempoh suku tahun berikutnya,” kata TM.

Rabu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengumumkan bahawa harga jalur lebar tetap di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun  ini.

Ia berikutan pelaksanaan Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) yang menetapkan harga borong yang boleh dikenakan penyedia perkhidmatan seperti TM. - Bernama