PEKAN - Tindakan tegas diambil terhadap individu mempersendakan institusi kesultanan dan raja Melayu di media sosial kerana menjaga kedaulatan institusi kesultanan dan beraja termaktub dalam perlembagaan negara selain ia juga sebahagian daripada identiti negara dan bangsa Melayu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas itu untuk memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab itu kerana kebelakangan ini terdapat segelintir individu yang gemar memuat naik kenyataan sedemikian di laman sosial mereka tanpa memikirkan implikasinya.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan sewajarnya kerana ada peruntukan untuk berbuat demikian dengan kerjasama daripada pihak berkuasa lain seperti polis,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang bersempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Jailani mendahului senarai 100 penerima untuk menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.  

Jailani berkata menjaga kemuliaan institusi kesultanan turut ditekankan Tengku Abdullah pada titah baginda yang mahu semua rakyat menyakini nilai institusi kesultanan.

"Baginda sendiri menyatakan bahawa institusi kesultanan mempunyai nilai dan kepentingannya untuk memayungi rakyat supaya kedaulatan negara kekal terpelihara," katanya.

Berhubung penganugerahan itu, Jailani menyifatkannya sebagai penghargaan daripada Sultan Pahang dan Tengku Abdullah bukan hanya kepada beliau sahaja, tetapi kepada semua kepimpinan kerajaan Persekutuan.

Jailani yang menjunjung kasih atas pengurniaan itu juga mendoakan supaya Sultan Pahang terus diberikan kesihatan yang baik.  - Bernama