KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap majikan disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga menyebabkan kematian, supaya keadilan dapat ditegakkan.

Sambil melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap perlakuan tidak berperikemanusiaan itu.

"Malaysia adalah negara berdaulat dan menghormati hak manusia. Perlembagaan Malaysia menjamin hak berasa selamat dan dilindungi pada setiap masa tidak kira mereka warga tempatan atau warga asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kes Adelina Lisio, 28, yang meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada Ahad lepas, setelah dipercayai didera di suatu alamat di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita berkenaan dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemukan pada Sabtu. - Bernama