• Mohd Rashid Hasnon mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri di majlis angkat sumpah barisan Exco di Dewan Sri Pinang hari ini - Foto Bernama Mohd Rashid Hasnon mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri di majlis angkat sumpah barisan Exco di Dewan Sri Pinang hari ini - Foto Bernama
1 /
GEORGETOWN - Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bayan Baru, Mohd Rashid Hasnon mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu di Dewan Seri Pinang di sini hari ini.
    
Mohd Rashid yang juga anggota jawatankuasa PKR Negeri mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada pukul 10 pagi.
    
Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keusahawanan.
   
Turut mengangkat sumpah jawatan ialah Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, yang juga memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi.
    
Selain itu lapan lagi anggota exco yang turut mengangkat sumpah  ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dan Kesenian Chong Eng dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi) Lim Hock Seng.
 
Yang lain ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Law Heng Kiang, Pengerusi Jawatankuasa Kabajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo dan  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan  Kesihatan Dr Afif Bahardin.
    
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Pulau  Pinang Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew. - Bernama