KUALA LUMPUR - Tan Sri Richard Malanjum berhak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berdasarkan kapasiti dan pengalaman yang dimilikinya dalam badan kehakiman negara.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, kedudukan Malanjum yang merupakan hakim paling kanan daripada semua hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan antara sebab utama beliau layak menjawat jawatan tersebut.

Kata Sri Ram lagi, Malajum juga seorang ahli perundangan dan baginya undang-undang cukup berkuasa dan mengatasi segalanya.

“Beliau juga seorang pentadbir yang cekap, saya masih ingat apabila kali pertama dilantik sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Kuching, terdapat lambakan kes yang memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

“Malanjum tanpa membuang masa terus ke bilik selamat di mana fail lama disimpan dan membawanya keluar serta menetapkan tarikh perbicaraan. Dalam masa sebulan, semua kes tertunggak berjaya diselesaikannya,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Malanjum, 65 , mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu selepas menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN : Richard Malanjum Ketua Hakim Negara baharu]

[ARTIKEL BERKAITAN : Ketua hakim, Presiden Mahkamah Rayuan letak jawatan]

Beliau yang juga bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 31 Julai ini.